Pindaan enakmen akan dibincang secara teliti: Amirudin

Amirudin beramah mesra bersama tetamu yang hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar hari ini.
Amirudin beramah mesra bersama tetamu yang hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) akan dibincangkan secara terperinci melibatkan perkara-perkara dan penafsiran berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pada masa ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sedang meneliti kembali pembentangan kertas tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga akan merujuk kembali Sultan Selangor selepas membuat perundingan dengan semua pimpinan parti di Selangor berhubung perkara itu.

"Ini adalah perdebatan perundangan dan ada beberapa pandangan dan kerangka yang perlu dilihat secara keseluruhan.

"Kita lihat keseluruhan semangat yang ada dalam perlembagaan dan niat terhadap pindaan itu.

"Sebab itu bagi saya ada baiknya perkara ini tidak dibawa hari itu bagi memberi ruang untuk kita bincang dengan lebih terperinci terhadap persoalan ini dan selepas itu barulah saya akan tuntaskan kepada Sultan Selangor," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor hari ini.

Khamis lalu, pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor sebulat suara menyatakan sokongan terhadap pimpinan Amirudin sebagai menteri besar sekali gus menafikan wujud gerakan untuk menyingkirkan beliau sebagai menteri besar melalui undi tidak percaya.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 Exco dipanggil menghadap Sultan Selangor

Artikel Berkaitan:

Desas-desus mengenai perkara itu tercetus apabila Amirudin dikatakan cuba untuk membawa usul pindaan enakmen tersebut namun mendapat tentangan daripada pimpinan DAP.

Ketika ditanya pemberita mengapa isu tersebut dibangkitkan semasa pentadbiran beliau, Amirudin berkata, terdapat beberapa pertimbangan dibuat sebelum ini berhubung perkara itu berikutan ia melibatkan perancangan serta penyusunan daripada pihak berkuasa agama.

"Jadi kita akan bincangkan perkara ini dengan teliti dan apabila dah buat keputusan baru kita akan fikirkan langkah-langkah seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau juga perlu merujuk kembali empat exco yang mengadap Sultan Selangor pada Khamis lalu bagi meneliti semula intipati pertemuan tersebut.

"Saya tak terlibat dalam pertemuan itu jadi saya harus rujuk kembali (empat exco). Sekarang cuti dan saya harus teliti balik mengenai perbincangan itu," katanya.