Tabung Haji tak raih untung pakej haji agensi pelancongan PJH

A
A

MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) tidak meraih sebarang keuntungan kewangan daripada pakej haji ditawarkan agensi pelancongan yang diluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Pengarah Operasi (PJH) TH, Mat Admara Alang Azizdin berkata, pihak TH hanya mengenakan bayaran servis RM500 setiap jemaah dibawa agensi pelancongan itu bagi pelbagai perkhidmatan disediakan TH di Tanah Suci antaranya perkhidmatan kesihatan dan pengeluaran kewangan.

"Pakej ditawarkan bergantung kepada syarikat (agensi pelancongan) pada masa ini ada tawarkan RM24,590 hingga RM180,000 untuk seorang jemaah, tetapi saya tegaskan di sini Tabung Haji tidak ambil peratus untung 10 atau 20 peratus semua itu, hanya bayaran perkhidmatan RM500 itu sahaja.

"Sehingga kini ada 22 syarikat ada lesen PJH yang masih sah lagi dan sehingga kini 6,140 jemaah haji memilih untuk mengerjakan haji menggunakan pakej ditawarkan syarikat ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah di Abraj Janadriyah, di sini hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia yang tinggal di sembilan maktab penginapan di sini bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Mat Admara berkata, hanya jemaah haji yang telah ditawarkan mengerjakan haji oleh TH pada tahun itu boleh memilih untuk mengerjakan haji dengan pakej ditawarkan agensi pelancongan memiliki lesen PJH.

Beliau berkata, pihak TH tidak akan menanggung subsidi jemaah haji yang menggunakan pakej agensi pelancongan memiliki lesen PJH itu dan dengan cara itu pihak TH telah menjimatkan kira-kira RM80 juta tahun lepas melalui subsidi mengerjakan haji.

"Tiada had maksimum jumlah jemaah boleh dibawa syarikat itu tetapi jumlah minimum mesti 50 jemaah, jika syarikat gagal dapatkan jumlah minimum dan tidak membawa jemaah dalam dua tahun berturut syarikat itu kena mohon lesen PJH baharu," katanya.

Apa yang penting agensi pelancongan itu mesti mengotakan tawaran pakej yang dibuat dan pihaknya akan menghantar petugas untuk memantau rapi perkhidmatan yang disediakan itu terutama dari segi makanan dan penginapan.

"Kalau dalam pakej kata dua sebilik kena sediakan begitu, jika berikan empat sebilik memang kita akan ambil tindakan. Makanan pun semua kena cukup dan ada kata jarak penginapan kurang 100 meter dari Masjidil Haram kena tunaikan.

"Selalunya jarak hotel untuk jemaah pakej ini kurang 300 meter dari Masjidil Haram, lawatan pertama kita kesan bagi amaran dulu suruh betulkan semua, kali kedua kita kesan lagi memang tiada maaf bagi mu. Kita tegas dalam perkara libat kebajikan jemaah," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia