Iktibar daripada surah al-Kahf

Para peserta bersama-sama membaca al-Quran selama satu jam pada program Malaysia #QuranHour.Gambar kecil: Dr Habeeb Rahman Ibramsa
Para peserta bersama-sama membaca al-Quran selama satu jam pada program Malaysia #QuranHour.Gambar kecil: Dr Habeeb Rahman Ibramsa
A
A
A

SHAH ALAM - Kandungan surah Al-Kahf perlu diberi perhatian dan penekanan di mana kandungan ayatnya mengajak seluruh masyarakat memahami intipati dan erti kemerdekaan dalam membangunkan sebuah negara yang aman, utuh dan progresif melalui prinsip-prinsip al-Quran.

Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Habeeb Rahman Ibramsa berkata, surah al-Kahf adalah surah yang dapat memberi persediaan dari aspek fizikal, emosi, intelek dan spiritual kepada masyarakat dalam menangani dunia masa kini.

Katanya, ia juga sebagai landasan agar ummah berupaya mengemudi kehidupan mengikut panduan al-Quran seperti yang digariskan ALLAH SWT.

“Sempena kemerdekaan negara kali ke-62 tahun ini, ia amat sesuai untuk membincang dan mengupas ayat dalam surah al-Kahf.

“Mengambil iktibar daripada kisah Ashabul Kahfi seperti dijelaskan dalam al-Quran, mereka mencari tempat perlindungan daripada pemerintah zalim yang menghalang mereka memberi pandangan, menjelaskan kebenaran dan menyeru kepada agama ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah kamu menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) dan Ar-Raqiim termasuk antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan?” (Surah al-Kahf, ayat 9). Jadi kita boleh kaitkan surah ini dengan kehidupan sekarang yang mana kita hanya perlu tunduk serta taat kepada perintah ALLAH SWT sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, maksud kemerdekaan yang terkandung dalam surah al-Kahf adalah kebebasan yang tidak dipengaruhi dengan apa-apa yang negatif dan bukan sekadar bebas daripada penjajah.

“Walaupun negara sudah merdeka namun kita berdepan dengan cabaran paling getir iaitu penjajahan akal atau peperangan akal. Ini lebih bahaya daripada penjajahan fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Kita masih lagi dikongkong oleh pelbagai ideologi barat seperti sekularisme dan liberalisme yang memisahkan agama dari pemikiran dan agama dari proses keilmuan.

“Bila akal dijajah, kita masih belum dapat melaksanakan undang-undang serta peraturan di atas muka bumi ini. Oleh itu, kita perlu memerdekakan diri kita seperti mana pemuda yang diceritakan dalam surah al-Kahf,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia #QuranHour boleh dilihat sebagai jenama terkenal yang berjaya mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat, rentas budaya dan negara.

“Ternyata, program ini berjaya mengangkat budaya tadarus al-Quran dalam kalangan masyarakat di negara ini dan kesungguhan menjadikan ia acara tahunan menggambarkan semangat untuk bersama menyebarkan syiar Islam.

“Walaupun hanya sejam yang diluangkan bagi menjayakan program berkenaan, ia tetap memberi makna kerana alunan ayat suci yang dibaca atau didengari memiliki kuasa untuk menundukkan hati yang keras.

“Bukan semua yang menyertai majlis pada hari dan waktu itu daripada kalangan yang istiqamah berinteraksi dengan al-Quran. Namun dengan pengisian yang ada, mungkin ia boleh memberi motivasi serta kesedaran kepada mereka untuk kembali kepada al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai teman sejati,” katanya.