Indonesia-Malaysia perlu bersama tangani diskriminasi minyak sawit

Presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri, Iriana Joko Widodo melambaikan tangan sebelum berlepas ke Singapura dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari. Foto: Bernama
Presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri, Iriana Joko Widodo melambaikan tangan sebelum berlepas ke Singapura dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indonesia dan Malaysia, dua negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, perlu memperbanyakkan usaha untuk bersama menangani diskriminasi terhadap produk itu dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).

Ketika membuat penegasan itu, Presiden Indonesia Joko Widodo berkata usaha ke arah itu tidak boleh dilakukan secara sendirian oleh negara-negara berkenaan.

Menurutnya, mendepani cabaran itu secara bersama adalah penting antara lain supaya harga komoditi itu tidak menurun dan sekali gus memastikan nasib peladang dan pekerja dalam sektor itu terpelihara.

"Saya tegaskan sekali lagi bahawa Indonesia dan Malaysia harus bersama melawan diskriminasi terhadap minyak sawit," katanya dalam rakaman temu bual dengan stesen televisyen Astro Awani di Jakarta baru-baru ini sebelum melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Joko Widodo, atau lebih dikenali dengan panggilan Jokowi, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan di Putrajaya pagi tadi yang didahului majlis sambutan rasmi untuk presiden Indonesia itu.

Dalam temu bual itu, Jokowi menegaskan kerjasama Indonesia-Malaysia dalam soal minyak sawit perlu bagi mengelak kesulitan buat kedua-dua negara anggota ASEAN itu.

Selain pihak kerajaan, beliau menegaskan langkah menangani diskriminasi itu turut perlu melibatkan pihak swasta kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Jokowi mahu kerjasama lebih erat dijalin oleh Indonesia dan Malaysia dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, pelaburan dan pelancongan.

Artikel Berkaitan:

Contohnya, beliau berkata kerjasama itu boleh dilakukan syarikat minyak dan gas Pertamina dan Petronas yang boleh bergabung kepakaran bagi mewujudkan perusahaan dengan modal dan kapasiti lebih besar serta mampu mencari sumber minyak bersama dan mengeksport produk petroleum ke negara lain.

Jokowi turut melahirkan rasa kagum dengan Dr Mahathir kerana pada usia 94 tahun masih bertenaga dalam menerajui Malaysia.

"Memang saya sangat kagum kerana dalam umur 94 tahun beliau masih sihat, ertinya mempunyai gaya hidup yang baik... sehingga masih betul-betul fit dan bekerja untuk rakyat Malaysia pagi sampai malam, pagi sampai malam," katanya. -Bernama