Tiket feri, bot Labuan ke tanah besar habis, penumpang hampa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Ratusan penumpang feri dan bot di terminal feri Labuan yang ingin pulang ke kampung di tanah besar hari ini bagi sambutan Aidiladha hampa apabila mendapati tiket bagi kedua-dua perkhidmatan itu telah habis ditempah.

Tinjauan Bernama mendapati kaunter tiket bagi kesemua empat feri dari Labuan ke Menumbok di Sabah mempamerkan notis ‘Penumpang Penuh’ yang menyebabkan ratusan penumpang terkandas dan menimbulkan keresahan dalam kalangan mereka.

Situasi yang sama juga berlaku di Terminal Feri Antarabangsa Labuan yang menyediakan perkhidmatan bot laju, di mana ratusan pelawat termasuk mereka yang mempunyai keluarga di Sabah terpaksa bermalam di pulau ini untuk menunggu perjalanan hari berikutnya.

Tinjauan juga mendapati kesemua feri dan bot laju yang berulang-alik penuh dengan penumpang.

Kejadian tiket habis dijual bagi perkhidmatan feri dan bot laju itu merupakan pertama kali dalam sejarah pengangkutan laut Labuan ekoran penguatkuasaan tegas bagi pematuhan had penumpang pada standard keselamatan yang ditetapkan Jabatan Marin Feb lepas.

Labuan mempunyai empat feri yang beroperasi ke Sabah menerusi laluan Labuan - Menumbok- Labuan iaitu feri Kimanis 1 yang boleh membawa 250 penumpang dan 50 kenderaan pada satu perjalan; Putrajaya dengan 1,400 penumpang dan 80 kenderaan satu perjalanan, feri Goodwill Star dengan 400 penumpang dan 100 kenderaan satu perjalanan dan Galaxy yang dapat menampung 70 kenderaan dan 370 penumpang satu perjalanan.- Bernama

Artikel Berkaitan: