Kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izette dibicarakan di Mahkamah Sesyen

Bung Moktar, Zizie Izette
Bung Moktar, Zizie Izette
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad ke Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua mereka berdepan tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pendakwaan untuk memindahkan kedua-dua kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakimannya, Nazlan berkata tuduhan yang dihadapi kedua-dua responden (pasangan suami isteri itu) berkaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) dan 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang tidak melibatkan sebarang perkara baharu dalam hal undang-undang yang mungkin timbul dalam kes bagi kesalahan itu.

"Tambahan pula, isu perundangan itu tidak semestinya menjadi masalah yang luar biasa. Malah, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur mempunyai tiga mahkamah khas, yang disebut sebagai Mahkamah Khas Rasuah bagi menangani kes rasuah.

"Adalah amat penting keyakinan terhadap integriti pentadbiran sistem keadilan jenayah dikekalkan," kata hakim.

Beliau berkata pemindahan kes itu tidak harus dibenarkan jika tidak meningkatkan kecekapan kehakiman dan menyebabkan penangguhan dalam permulaan perbicaraan kerana ini tidak akan memenuhi proses keadilan.

"Atas alasan yang disebutkan di atas, saya menolak permohonan untuk memindahkan kedua-dua kes itu ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Allan Suman Pillai berkata penghujahan bertulis untuk memindahkan kes itu difailkan pada 7 Ogos mengikut Seksyen 417 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, peguam Datuk K.Kumaraendran yang mewakili Bung Moktar, 60, yang nama sebenarnya Moktar Radin dan Zizie Izette, 41, berkata anak guamnya tidak membantah kes itu didengar di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Rozina Ayob menetapkan 20 Sept untuk pengurusan kes Bung Moktar dan isterinya itu.

Allan Suman memaklumkan mahkamah bahawa permohonan pendakwaan memindahkan kes telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

"Pihak pendakwaan memohon mahkamah membenarkan kes membabitkan Bung Moktar dan Zizie Izette dibicarakan bersama,” katanya dan Kumaraendran yang mewakili kedua-dua tertuduh tidak membantah.

Allan Suman berkata kesemua dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah dan peguam Kumaraendran mengesahkan perkara itu.

Rozina membenarkan permohonan pendakwaan dan mengarahkan pihak pendakwaan menyediakan senarai saksi pada pengurusan kes akan datang.

Pada 3 Mei lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette yang merupakan seorang pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -Bernama