SPRM gagal peroleh minit mesyuarat asal, bekas Pengarah SRC melarikan diri: Saksi

A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau gagal mendapatkan minit mesyuarat asal SRC International Sdn Bhd tahun 2013 kerana bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nik Faisal Ariff Kamil melarikan diri ke luar negara.

Rosli Husain, 54, berkata pada awalnya beliau memberitahu bekas Pengerusi Lembaga SRC, Tan Sri Ismee Ismail, untuk mendapatkan minit mesyuarat asal.

"Saya bertanya kepada Tan Sri Ismee kerana beliau adalah orang yang paling sesuai kerana beliau adalah pengerusi SRC. Bagaimanapun, beliau juga tidak memiliki minit asal. Ini kerana, minit tersebut dicatat oleh Terence Geh, bekas pengarah syarikat SRC yang telah melarikan diri ke luar negara. Nik Faisal pun melarikan diri ke luar negara.

"Saya juga telah menghubungi Chee Suwen (setiausaha SRC) tetapi beliau memberitahu beliau bukan lagi setiausaha SRC. Usaha saya gagal, semakan di SRC juga tidak menemui minit mesyuarat asal," katanya yang merupakan pegawai penyiasat ketika siasatan kes itu pada 2015.

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-51 perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Beliau berkata pada 18 Julai 2018, beliau memperoleh salinan minit mesyuarat itu daripada Ismee yang ketika itu hadir di Ibu Pejabat SPRM untuk merekodkan kenyataan.

"Sebelum beliau hadir ke SPRM, saya memesan kepadanya supaya membawa minit mesyuarat yang ada padanya dan ketika berada di SPRM, beliau memberitahu satu set minit mesyuarat itu ada dalam keretanya. Saya pun mengarahkan beliau menyerahkan dokumen itu kepada saya untuk semakan.

"Hasil semakan, saya juga mendapati tiada tandatangan Ismee dalam minit salinan yang dibawanya," katanya sambil menambah beliau kemudiannya mengarahkan pegawainya untuk membuat salinan terhadap dokumen yang diberikan Ismee.

Rosli berkata, seramai lima orang saksi meninggal dunia sepanjang siasatan kes SRC, iaitu Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias; bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Allahyarham Datuk Noriah Ahmad; bekas pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman; Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), (KWAP), Ahmad Norhisham Hassan; dan seorang individu dikenali Izzat Izairi Osman.

Menyentuh mengenai dokumen yang dirampas untuk siasatan kes itu yang bermula pada 2015, saksi itu berkata lebih 1,000 dokumen diperoleh daripada pelbagai pihak termasuk bank, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) ( KWAP), SRC, Ihsan Perdana Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Kementerian Kewangan.

Menurut Rosli, siasatan yang bermula pada 6 Julai 2015 itu turut dibantu oleh pegawai SPRM lain termasuk daripada cawangan SPRM di setiap negeri.

"Siasatan kes SRC ini adalah lanjutan daripada laporan yang dibuat pada 3 Julai 2015 oleh Penolong Pesuruhjaya SPRM, Prem Raj.

Ishak: Prem Raj dari bahagian mana di SPRM?

Rosli: Prem Raj pegawai dari bahagian forensik perakaunan.

Ishak: Siasatan kes SRC yang kamu lakukan mengikut Akta apa?

Rosli: Siasatan yang dibuat adalah mengikut Akta SPRM iaitu di bawah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFUA) dan Kanun Keseksaan.

Ketika ditanya sama ada Prem Raj ada berjumpanya untuk menyerahkan dokumen berkaitan SRC pada 6 Julai 2015, Rosli menjawab: "ada".

Rosli berkata, dalam perjumpaan itu, Prem Raj menyerahkan tiga buku kesetiausahaan iaitu masing-masing dua untuk SRC dan sebuah lagi milik Gandingan Mentari.

"Semua dokumen yang diterima adalah untuk siasatan awal. Buku secretarial (kesetiausahaan) SRC yang diperoleh itu mengandungi minit mesyuarat pemegang saham dan surat pelantikan," katanya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia