AirAsia lancar petisyen bantah PSC Tambahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia melancarkan petisyen membantah caj perkhidmatan penumpang (PSC) tambahan RM23 untuk penumpang yang melakukan perjalanan di luar Asean.

Petisyen itu dilancarkan tengah malam tadi dan lebih 39,000 tandatangan pada jam 1.15 petang

"Kami membantah kenaikan ini dengan tidak mengutip caj tambahan RM23 itu daripada pelanggan,” kata syarikat penerbangan itu dalam petisyen berkenaan.

AirAsia berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) direka dan dikendalikan sebagai terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) dan penumpang tidak perlu membayar PSC sama seperti di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang lebih lengkap dan mewah.

Syarikat penerbangan itu berkata PSC tinggi adalah beban yang tidak adil kepada pengguna.

"PSC sentiasa lebih rendah di KLIA2, sehingga tahun 2018 apabila kadar itu meningkat dan disamakan atas sebab yang tidak diketahui.

"Kami percaya PSC yang tinggi akan menjejaskan pelancongan, menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia kurang menarik kepada pengunjung berbanding dengan destinasi lain," kata AirAsia.

Untuk rekod, caj yang dibayar penumpang di KLIA2 untuk penerbangan ke destinasi di luar Asean meningkat dua kali ganda sejak 2016.

Artikel Berkaitan:

Sehingga 31 Disember 2016, PSC dikenakan adalah RM32 seorang, tetapi bermula dari 1 Januari 2017 kadar itu dinaikkan kepada RM50 seorang.

Mulai 1 Julai tahun lalu, pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengenakan PSC lebih tinggi iaitu RM73 seorang.

Di sebalik arahan itu, AirAsia enggan mengutip tambahan RM23 daripada pelanggannya untuk memastikan perjalanan udara kekal mampu untuk semua, dengan mengatakan ia percaya kenaikan PSC itu 'tidak munasabah'.

Bagaimanapun, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu akan mengutip PSC lebih tinggi untuk KLIA2 untuk tempahan penerbangan yang dibuat dari tengah malam tadi dengan jumlah perbezaan dinyatakan secara terperinci dalam tambang sebagai 'PSC (Di bawah Protes)'.

Dalam petisyen itu, ramai yang menyatakan tidak bersetuju, menyatakan PSC tidak adil dan terlalu membebankan.

Daniel Mishary berkata, bekerja untuk sebuah pertubuhan amal memerlukannya melakukan perjalanan dengan menggunakan syarikat penerbangan tambang rendah.

"Apabila kos pentadbiran meningkat dan ini secara automatik meningkatkan tambang udara, ia tidak lagi menepati tujuan untuk mempunyai penerbangan kos rendah lagi," katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Halimin Wan Ismail berkata "peningkatan caj itu memerlukan penjelasan yang munasabah supaya (isu) caj lebih tinggi yang hanya bertujuan untuk membuat keuntungan tidak timbul.

"Selain itu, banyak peningkatan kos ditanggung oleh pengguna."

Seorang pempetisyen lain, Rosnizan Ismail berkata, caj itu menambah beban golongan berpendapatan rendah terutama yang mempunyai ramai anak kerana perlu menanggung kos lebih tinggi. - Bernama