Rujuk kepada SPRM jika sumber pemerolehan hakim diragukan

Tengku Maimun (duduk dua dari kanan) bergambar bersama hakim-hakim yang baharu dilantik selepas Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Hakim Besar Malaya, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman hari ini. - Foto BERNAMA
Tengku Maimun (duduk dua dari kanan) bergambar bersama hakim-hakim yang baharu dilantik selepas Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Hakim Besar Malaya, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Badan Kehakiman akan merujuk kepada pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya sumber pemerolehan aset seseorang hakim diragukan dan terdapat bukti bahawa ia diperolehi secara tidak sah, kata Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, badan kehakiman tidak akan bertolak ansur atau melindungi mana-mana hakim atau pegawai-pegawai kehakiman yang terlibat dalam perbuatan rasuah atau salah laku serius yang lain.

"Saya ingin menegaskan bahawa Badan Kehakiman memandang serius tohmahan rasuah yang dikatakan berlaku di kalangan para hakim, terutama di peringkat mahkamah bawahan," kata Tengku Maimun.

Beliau berkata, tindakan juga akan diambil terhadap mana-mana hakim sekiranya mereka gagal mematuhi Pekeliling Ketua Hakim Negara yang menghendaki mereka mengisytiharkan semua asetnya.

Kata beliau, arahan yang sama telah diberikan kepada Ketua Pendaftar berkaitan pengisytiharan harta oleh pegawai-pegawai kehakiman.

"Badan Kehakiman telah mengambil pelbagai langkah pencegahan sebagai usaha menangani gejala rasuah ini," kata Tengku Maimun ketika berucap pada majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia seramai 14 hakim.

Beliau juga berkata, terdapat desas desus tentang salah laku hakim tertentu yang tidak berkaitan dengan keputusan sesuatu kes, tetapi beliau tidak ada menerima sebarang aduan bertulis mengenainya.

"Saya memberi jaminan bahawa aduan sedemikian, jika mempunyai asas, akan diambil tindakan sewajarnya oleh Badan Kehakiman, dengan kerjasama pihak berkaitan untuk menyiasat dan mencari kebenaran tentang aduan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapannya, Tengku Maimun juga mengingatkan para hakim agar mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan seperti peguam, timbalan pendakwa raya, peguam persekutuan yang mempunyai kes di hadapan mereka.

"Adalah tidak wajar untuk menjemput mereka memasuki kamar hakim tanpa kehadiran pihak lain, walaupun mereka adalah kawan rapat hakim tersebut," katanya.

Tengku Maimun berkata, perkara sedemikian mungkin boleh menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih.

"Saya mendapat laporan bahawa hal ini berlaku di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen. Saya nasihatkan agar perbuatan ini dihentikan serta merta," kata beliau.

Di majilis tersebut, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Besar Malaya.

Sementara itu, tiga belas hakim yang lain masing-masing mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai hakim Mahkamah Persekutan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Dua Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli mengangkat sumpah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan manakala empat hakim iaitu Datuk Lee Swee Seng, Datuk Azizah Nawawi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Ravinthran N. Paramaguru sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Manakala tujuh pesuruhjaya kehakiman iaitu Datuk Roslan Abu Bakar, Datuk Abdul Wahab Mohamed, Datuk Hassan Abdul Ghani, Chan Jit Li, Datuk Muhammad Jamil Hussin, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Datuk Khadijah Idris sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Tengku Maimun berkata badan kehakiman akan mengeluarkan ingatan kepada para hakim dan pegawai agar sentiasa mematuhi kod etika yang menghendaki mereka sentiasa bersih.

Beliau juga berkata, badan kehakiman akan memperketatkan proses perisytiharan harta agar hakim yang memperoleh aset baharu tidak perlu tunggu hingga tiga tahun untuk mengisytihar harta.

Beliau bagaimanapun menyatakan setakat ini hampir 100 peratus dari jumlah hakim mematuhi syarat perisytiharan harta. - Bernama