Pemandu treler sebabkan lapan kematian dipenjara 30 bulan

Norzailan dihukum penjara 30 bulan dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian lapan orang dalam kemalangan di Jempol dua tahun lalu.
Norzailan dihukum penjara 30 bulan dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian lapan orang dalam kemalangan di Jempol dua tahun lalu.
A
A
A

JEMPOL - Seorang pemandu treler dihukum penjara 30 bulan dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian lapan orang dalam kemalangan di Jempol dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Mohamad Redza Azhar terhadap Norzailan Omar, 46, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian terhadap segala hal termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta kesesakan lalu lintas yang boleh dijangka atau mungkin ada di jalan itu sehingga menyebabkan kematian lapan pemandu serta penumpang yang menaiki dua kenderaan lain.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Selain itu, lesennya boleh digantung dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, D Anuratha dan Kevin Lai.

Terdahulu, peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah selain merupakan ketua keluarga serta menanggung dua anak masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak dan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Jika gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dipenjara enam bulan.

Lesen memandu tertuduh turut digantung tiga tahun dan tertuduh akan menjalani hukuman di Penjara Bentong, Pahang.

Dalam kemalangan pada 11 Jun 2017, lapan maut termasuk enam rentung di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong di sini.

Kemalangan kira-kira jam 2.20 petang itu membabitkan empat kenderaan iaitu Perodua Myvi, Proton Exora, Toyota Vios dan sebuah treler.

Kejadian berlaku apabila treler dari arah Keratong cuba memotong sebuah motosikal tetapi gagal, sebelum terbabas ke lorong bertentangan.

Dalam masa sama, Perodua Myvi dari arah bertentangan cuba mengelak merempuh treler berkenaan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Vios.

Sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Exora yang dipercayai dinaiki enam sekeluarga dari arah Bahau ke Keratong cuba mengelak Myvi yang terbabas di hadapannya, namun gagal lalu terperosok di bawah treler sebelum terbakar.

Mangsa yang maut adalah Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 51, Masnoraida M Yusoff, 45, Wan Muhammad Muhaimmin, 22, Wan Nor Athira, 18, Wan Mohd Ammar Haziq, 13, dan Wan Nur Aiesya, 7.

Turut maut pemandu Myvi, Osman Mohamed Taip, 31, dan isterinya, Rosniza Othman, 32.