Mahu koperasi sekolah terus berdaya saing

Sheikh Umar (tiga dari kiri) menyerahkan Anugerah Projek Terbaik Program Azam Usahawan Muda Johor kepada Koperasi Kolej Vokasional Kluang Berhad.
Sheikh Umar (tiga dari kiri) menyerahkan Anugerah Projek Terbaik Program Azam Usahawan Muda Johor kepada Koperasi Kolej Vokasional Kluang Berhad.
A
A
A

KLUANG - Kerajaan Negeri Johor mahu program pembudayaan keusahawanan di dalam kalangan para pelajar di negeri ini diperkukuhkan agar selari dengan pembangunan usahawan dirancang kerajaan negeri melalui Program Azam Usahawan Muda Johor dalam Belanjawan Johor 2019.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali berkata, pencapaian akademik semata-mata tidak menjamin para pelajar menjadi insan yang berjaya kerana mereka memerlukan satu platform bagi mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam bentuk latihan untuk mendapatkan pengalaman.

"Koperasi sekolah merupakan wadah berkesan untuk para pelajar berniaga, menjadi usahawan, mentadbir dan mengurus koperasi serta mendapat kemahiran-kemahiran insaniah, malah penglibatan mereka ini mampu memperkukuhkan jati diri yang menjadi pegangan koperasi.

"Pelbagai program telah dilaksanakan oleh koperasi sekolah dalam mendidik semangat keusahawanan di kalangan para pelajar sekolah kerana penerapan dan pendedahan kepada budaya dan nilai-nilai keusahawanan ini juga merupakan salah satu proses pembelajaran juga," katanya.

Beliau yang juga Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Azam Usahawan Muda Johor Tahun 2019 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa 2 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Johor, Mahmud Kadar dan wakil rasmi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) Kamaluddin Mohd Tahir.

Menurutnya, sekarang juga sudah menjadi trend kebanyakan kebanyakan koperasi sekolah mewujudkan kiosk dan ini adalah satu perkembangan yang lebih baik kerana koperasi turut memainkan peranan penting kepada asas ekonomi negara.

"Sebagai contoh, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang Batu Pahat Berhad telah berkembang dari sebuah koperasi sekolah menjadi sebuah koperasi yang mempunyai outlet menjual barangan runcit termasuk barang makanan basah dan makanan sejuk beku.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut rekod juga, jualan bulanan koperasi ini boleh mencecah sehingga RM100,000 manakala jualan tahunan boleh mencapai sehingga RM600,000 dan ternyata koperasi ini telah keluar dari zon selesa dan tidak hanya menjual peralatan persekolahan semata-mata," katanya.

Menurutnya, beliau juga berharap agar pihak sekolah dan guru sentiasa boleh memikirkan cara dan kaedah terbaik untuk mempelbagaikan aktiviti bagi mendedahkan para pelajar kepada dunia keusahawanan dan menceburkan diri dalam aktiviti perniagaan yang bukan stereotaip.

Pada masa sama, terdapat 268 koperasi sekolah di negeri ini dengan jumlah ahli seramai 231,513 orang selain jumlah syer sebanyak RM3.15 juta serta perolehan aset sebanyak RM53 juta dan koperasi sekolah yang terpilih akan mewakili negeri Johor ke pertandingan Konvensyen Young Entrepreneur Strive For Success (YESS) peringkat kebangsaan.