Anjur program Zakir Naik sebagai sokongan moral

Zakir Naik semasa hadir ke Executive Talk di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Penganjuran beberapa program melibatkan Dr Zakir Naik di Kelantan adalah untuk memberi sokongan moral kepada penceramah tersebut yang berdepan pelbagai cabaran melibatkan ekstradisinya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Kerajaan Kelantan melihat Dr Zakir Naik sebagai pejuang Islam yang seharusnya diberikan sokongan padu.

"Kita anjurkan pelbagai program kemasyarakatan bertujuan untuk menunjukkan solidariti kepada Dr Zakir atas serangan terhadap beliau kerana apa yang berlaku pada beliau dan India itu lebih bersifat agama.

"Dia bukan pengganas, tiada kes jenayah pun. Dalam kes beliau sebelum ini, kita tahu tujuan ia dilakukan adalah bersebab politik dan beliau adalah orang Islam. Maka kita perlu bela dan tanggungjawab kita untuk pertahankannya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Executive Talk bersama Dr Zakir Naik di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd Amar berkata, Zakir Naik bukanlah seorang pelarian di Malaysia kerana beliau sudah diberikan kerakyatan di sini.

Beliau berkata, Zakir sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia tidak perlu didesak untuk meninggalkan negara ini sebagaimana yang dilakukan sesetengah pihak.

"Ini adalah perkara biasa, musuh-musuh Islam apabila mereka tidak dapat menentang maka mereka cari jalan tidak bermaruah untuk menghalang penyebaran dakwah," katanya.

Lebih 1,000 penjawat awam negeri dan Persekutuan hadir ke program tersebut bagi mendengar ceramah Zakir bertajuk 'Salah Faham Tentang Islam'.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia