Mayat lelaki berbungkus disahkan warga asing

Noor Azmi Yusoff
Noor Azmi Yusoff
A
A
A

AMPANG JAYA - Polis mengesahkan mayat seorang lelaki ditemukan dalam sebuah beg pakaian di Kawasan Public Palm Oil Jalan 3 Pandan Industri, Pandan Indah dekat sini baru-baru ini dipercayai adalah warga asing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan tanda suntikan 'Bacillus calmette-guerin' (BCG) ditemukan pada lengan mangsa.

"Namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

"Kita sudah hantar laporan cap jari mangsa kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk kenal pasti identitinya sekiranya dia masuk ke dalam negara menggunakan laluan sah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai orang hilang.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis tidak tolak kemungkinan mangsa telah mati dalam tempoh 24 jam sebelum ditemukan.

Semalam, satu mayat lelaki berbungkus di dalam beg pakaian dijumpai kira-kira jam 8.52 pagi di Jalan 3 Pandan Industri Pandan Indah, Ampang.

Mayat tersebut diletakkan dalam beg pakaian berwarna biru dan badannya berikat dengan kabel wayar selain kedua-dua kaki mangsa telah terkeluar dari beg tersebut.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kerana tekanan pada bahagian leher dan terdapat kesan lebam di bahagian hadapan serta belakang badan selain mempunyai kesan jerut di bahagian lengan, leher kiri sehingga bawah dagu mangsa.