Pemuda Pas gesa singkir DAP dalam pentadbiran Selangor

AHMAD FADHLI
AHMAD FADHLI
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa agar Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) di Selangor supaya dapat mengambil langkah untuk menyingkirkan pemimpin DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Menteri Besar, Amirudin Shari perlu memulakan langkah proaktif dengan memohon mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah bagi merombak semula Exco dan menyingkirkan wakil daripada parti DAP termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim.

Beliau berkata, UMNO dan Pas sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Selangor bagi menjayakan agenda untuk menyingkirkan pemimpin DAP daripada pentadbiran negeri.

"Sekiranya sokongan daripada UMNO dan Pas diperlukan tiada sebab untuk kedua-dua parti ini menolak walaupun dengan jumlah kerusi yang kecil bagi bekerjasama menjayakan agenda ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu penangguhan Sidang DUN Selangor selepas hanya dua hari berlangsung menimbulkan pelbagai tanda tanya dipercayai berpunca daripada kemelut politik antara Amirudin dengan DAP sehingga menyebabkan ADUN Sungai Tua itu kecewa dengan tindakan Suee Lim.

Mengikut jadual persidangan sepatutnya berlangsung selama sembilan hari bermula 29 Julai hingga 9 Ogos ini namun mesyuarat yang bermula Isnin lalu hanya berlangsung dua hari sehingga Rabu.

Sehingga kini punca Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kedua itu ditangguhkan tidak dapat dipastikan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memaklumkan perpecahan di dalam Pakatan Harapan (PH) bukan satu perkara yang pelik memandangkan gabungan Pakatan Rakyat (PR) juga pernah mengalami situasi sama sebelum ini melalui Langkah Kajang.

Artikel Berkaitan:

"Jika permulaan terlerainya PR adalah Langkah Kajang di Selangor, tiada yang pelik jika lerainya PH juga bermula dengan Langkah Sekinchan di Selangor.

"Jika ada yang masih berpura-pura tidak nampak dengan kemelut Selangor ini, saya kira ia adalah situasi yang sangat malang," katanya.