Pos Malaysia ketengahkan siri setem pakaian kebangsaan

Siri setem istimewa dwitahunan Asean yang bertemakan pakaian kebangsaan.
Siri setem istimewa dwitahunan Asean yang bertemakan pakaian kebangsaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengeluarkan siri setem istimewa dwitahunan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) dengan mengetengahkan tema pakaian kebangsaan, mulai semalam.

Siri setem itu adalah kerjasama antara ahli-ahli komuniti pos Asean, iaitu Brunei, Cambodia, Filipina, Indonesia, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Najib Syed Md Noor berkata, ahli komuniti pos Asean bersetuju memilih tema Pakaian Kebangsaan sempena ulang tahun penubuhan Asean pada 8 Ogos 1967.

“Pemilihan pakaian kebangsaan kerana ia amat signifikan dalam mempromosikan kebudayaan, warisan serta identiti setiap negara Asean.

"Malaysia akan mengetengahkan pakaian kebangsaan dan kepelbagaian pakaian tradisi yang memaparkan kepelbagaian di dalam masyarakat majmuk yang ada melalui siri ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar.

Menurutnya, siri setem itu hanya mempunyai sekeping setem bernilai 60 sen dan selembar helaian mempunyai 20 keping setem dengan memaparkan persalinan lengkap baju Melayu untuk lelaki dan baju kurung untuk wanita.

No Image Caption

“Hanya 200,000 keping setem dihasilkan bagi siri ini, manakala Lembaran Mini (MS) sebanyak 22,000 keping memaparkan pakaian tradisi pelbagai etnik di Malaysia termasuk Cina, India serta Sabah dan Sarawak menampilkan ciri khas Spot UV dan dijual pada harga RM5.00 setiap satu.

Artikel Berkaitan:

“Cap tarikh khas memaparkan imej Baju Melayu dan Baju Kurung. Sebanyak 27,000 Sampul Hari Pertama (FDC) dikeluarkan dan harga bagi FDC dengan setem adalah RM1.10 setiap satu serta didatangkan dengan brosur percuma,' katanya.

Syed Najib berkata, untuk siri ini kesemua sepuluh negara anggota akan bertukar-tukar 1,000 salinan siri setem Asean Post 2019 (pakaian kebangsaan) antara satu sama lain dalam usaha mempromosikan kesedaran dan pemahaman silang budaya terdapat dalam Asean.

"Sepuluh setem terhad dari negara-negara Asean ini akan dimasukkan ke dalam 'folder' khas dan boleh dibeli secara eksklusif untuk 1,000 Ahli Deposit Pesanan Tetap (SODA) terawal.

"Pos Malaysia menggalakkan peminat serta pengumpul setem menjadi ahli SODA untuk memastikan tidak melepaskan peluang memiliki setem terkini serta menikmati faedah eksklusif ditawarkan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos di seluruh negara atau di www.posonline.com.my.

Pada Ogos 2017 yang lalu, Pos Malaysia mengeluarkan siri setem bertemakan Bunga Kebangsaan bagi memperingati Ulang Tahun ke-50 Asean, sekali gus menjadikan siri tersebut sebagai koleksi pertama setem bagi ahli pos negara-negara Asean.

Lembaran Mini (MS) memaparkan pakaian tradisi pelbagai etnik di Malaysia.
Lembaran Mini (MS) memaparkan pakaian tradisi pelbagai etnik di Malaysia.