Kualiti Musang King tambat hati peminat durian di China

Ishak (tiga, kiri) bersama Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed (dua, kiri) melawat gerai jualan durian sempena Majlis Pelancaran Jualan Durian Day (Jualan Anak-beranak) dan Hari Bertemu pelanggan Pejabat FAMA Terengganu, di sini, hari ini.
Ishak (tiga, kiri) bersama Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed (dua, kiri) melawat gerai jualan durian sempena Majlis Pelancaran Jualan Durian Day (Jualan Anak-beranak) dan Hari Bertemu pelanggan Pejabat FAMA Terengganu, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kualiti raja buah tempatan, Musang King (D197) yang diakui antara terbaik dan bebas daripada racun serangga perosak (pestisid) menambat hati peminat durian di negara China.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail berkata, kualiti tinggi yang ada pada durian jenis premium itu menggalakkan lagi permintaan sekali gus mempengaruhi peningkatan jumlah eksport durian dari Malaysia ke negara China.

“Kerajaan China dapati durian yang dieksport dari negara jiran mempunyai kandungan pestisid yang tinggi berbanding kualiti buah durian dari Malaysia.

“Sebab itulah mereka meluluskan pengeksportan durian Musang King dari Malaysia dalam bentuk buah yang sempurna ‘the whole fruit’ ke negara itu selain menggalakkan rakyat mereka makan durian dari negara kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jualan Durian Day (Jualan Anak-beranak) dan Hari Bertemu pelanggan Pejabat FAMA Terengganu, di sini semalam.

Dalam perkembangan sama katanya, beliau menjangka nilai eksport durian Musang King ke China dapat ditingkatkan kepada 10 peratus berbanding hanya satu peratus yang dapat dipenuhi buat masa ini.

Katanya, durian Musang King dari negara ini hanya memenuhi sebanyak satu peratus (954 tan) nilai eksport ke China pada 2018, selebihnya (sembilan peratus) adalah durian yang dieksport dari negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia.

“Permintaan yang kita terima sekarang jauh lebih tinggi berbanding penawaran, tetapi kita hanya mampu penuhi satu peratus sahaja. Kita jangka dapat tingkatkan lagi nilai eksport kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sebab itu kita memberi galakan kepada pengusaha durian untuk melibatkan diri dalam penanaman buah ini secara besar-besaran di samping terus kekal menjaga kualitinya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga optimis dapat meningkatkan sebanyak 30 peratus nilai jualan eksport durian Musang King ke negara China.

“Nilai jualan keseluruhan pada 2018 ialah RM9.45 juta dan kita harap nilai ini akan meningkat.

“Tahun ini dengan kelulusan eksport ‘the whole fruit’ durian oleh kerajaan China, saya optimis berlaku peningkatan sekurang-kurangnya 30 peratus dari segi nilai jualan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga berusaha memperkenalkan jenis durian premium yang lain ke China seperti Black Thorn (D200) dan durian kampung yang lain.

“Selain Musang King, kita juga ada banyak durian jenis lain yang berkualiti tinggi termasuk durian kampung yang boleh diperkenalkan secara perlahan-lahan ke negara China,” katanya.

Terdahulu, 1 Jun lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mengumumkan berita gembira kepada pengusaha tanaman durian selepas kerajaan China memutuskan durian Musang King kini boleh dieksport secara bentuk buah sempurna ke negara itu berbanding hanya dalam bentuk pes dan ulas sahaja sebelum ini.