Bomba yakin Nora Anne masih hidup

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Bomba yakin remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai di sini sejak Ahad lalu masih hidup.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, ini kerana kawasan sekitar resort berkenaan mempunyai sungai yang boleh memberi tenaga kepada mangsa.

"Walaupun mangsa mungkin terputus bekalan makanan sejak hilang, tapi dengan kawasan sekitar yang banyak air, secara logiknya ia mampu memberi tenaga kepada mangsa untuk meneruskan hidup.

"Mungkin mangsa cari sumber air. Sebab itu, operasi pencarian kita hari ini tertumpu di sepanjang sungai untuk mengesan kemungkinan mangsa berada di kawasan sekitar atau di celah-celah batu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini masih belum ada sebarang petunjuk berhubung kehilangan mangsa.

"Kita turut menambah kekuatan anggota kepada 40 orang termasuk bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dan Selangor.

"Anggota dipecahkan kepada empat kumpulan mengikut sektor pencarian yang sudah ditetapkan termasuk di kawasan hutan," katanya.

Menurutnya, seramai 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut terlibat untuk operasi menyelam di dasar sungai dan sektor pencarian di kawasan sungai sudah meliputi sepanjang dua kilometer setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Nora Anne sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai di sini pada Ahad lalu, sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan.