Lelaki ugut bunuh adik dijel lapan bulan

Tertuduh mengaku salah mengugut mahu membunuh adik lelakinya dengan pisau di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh mengaku salah mengugut mahu membunuh adik lelakinya dengan pisau di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mengugut mahu membunuh adik lelaki dengan sebilah pisau, Mei lalu.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh, Wan Mohamad Farhan Wan Ahmad, 24, dari Kampung Tanjung Kedai Buluh, di sini mengaku salah kerana melakukan ugutan jenayah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh mengugut mahu membunuh adiknya, Wan Mohamad Alfateh Wan Ahmad, 22, menggunakan pisau di sebuah rumah di Kampung Tanjung Kedai Buluh, di sini lebih kurang jam 10.15 pagi pada 19 Mei lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan mengamuk dengan menumbuk kepala mangsa kerana berang ditegur selepas tindakannya membelasah adik perempuan mereka, Wan Fatin Dahlia yang berusia 10 tahun di belakang leher.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh turut mengugut mahu menikam mangsa dengan pisau sebelum berjaya dipujuk ibu saudara mereka yang tinggal bersebelahan.

Tertuduh yang melarikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap pada petang hari sama kejadian iaitu kira-kira jam 3.15 petang di rumah mereka.

Artikel Berkaitan: