RM35,600 lesap diperdaya Macau Scam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang juru teknik berputih mata apabila wang RM35,600 dalam akaun bank miliknya lesap selepas terpedaya sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, penipuan ke atas mangsa yang berusia 27 tahun itu bermula selepas dia menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Menurutnya, suspek memaklumkan tentang notis arahan hadir ke mahkamah berkait tuntutan tunggakan kad kredit, 4 Ogos lalu.

“Mangsa juga turut terima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Sarjan Zamini memaklumkan dia dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Selepas mangsa menafikan dakwaan itu, panggilan disambung kepada seorang pegawai polis wanita berpangkat inspektor yang kononnya mengendalikan kes itu untuk semakan. Mangsa diminta menyerahkan maklumat akaun bank miliknya dan butiran perbankan internet serta kod pengesahan transaksi (TAC) bagi tujuan semakan”, katanya.

Mohd Wazir berkata, bimbang dengan tindakan undang-undang yang mungkin dihadapinya, mangsa akur dengan arahan itu dan menyerahkan segala maklumat itu tanpa menyedari dia sedang ditipu.

“Selepas maklumat bank diserahkan, mangsa menerima pesanan daripada pihak bank berhubung tiga transaksi pindahan wang dari akaun banknya ke akaun milik individu lain berjumlah RM35,600 melalui aplikasi DuitNow.

“Ekoran itu, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: