Lynas: Kenyataan kerajaan lebih bersifat politik

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penjelasan yang dikemukakan kerajaan berhubung isu Lynas lebih bersifat politik berbanding pembentangan menerusi aspek data sains.

Perkara itu diulas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sekali gus membidas pendapat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bahawa Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) membawa lebih kesan sampingan negatif daripada kebaikan.

"Antara aspek dibangkitkan beliau (Fuziah) adalah isu kesihatan, ekosistem, peluang pekerjaan serta hubungannya dengan pinjaman wang dari Jepun. Dalam banyak keadaan, kenyataan dikeluarkannya adalah lebih bersifat politik berbanding pembentangan data sains.

"Saya ialah Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen berkenaan Lynas pada tahun 2012, jadi saya terpanggil dan berasa bertanggungjawab menjelaskan beberapa perkara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Lynas diluluskan bukan kerana Malaysia berhutang atau bercadang untuk berhutang dengan negara berkenaan seperti didakwa menteri tersebut baru-baru ini.

"Fuziah sama sekali tersasar, kenyataan sedemikian tidak tepat dan sangat berniat jahat. Keputusan untuk membenarkan Lynas beroperasi di negara kita dibuat berpandukan kelebihan yang ada dalam sektor yang melibatkan bahan nadir bumi (rare earth element).

"Ia mempunyai sifat bahan yang unik dan digunakan dalam pelbagai aplikasi dan alat, selain membangunkan industri seperti elektronik dan tenaga diperbaharui," katanya.

Mohamed Khaled berkata, Lynas juga diluluskan atas pertimbangan saintifik dan perindustrian dengan mengambil kira kelestarian serta kesesuaian alam sekitar di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini dijelaskan dalam dapatan Jawatankuasa Pilihan Khas dan pemegang taruh mengenai Projek LAMP yang dibentangkan semasa Dewan Rakyat Parlimen Ke-12 (Penggal Ke-5, Mesyuarat Ke-2) pada 19 Jun 2012 (Laporan Jawatankuasa Khas).

"Pihak Jawatankuasa Pilihan Khas juga mencadangkan standard kepatuhan berdasarkan amalan terbaik antarabangsa daripada kumpulan pakar demi memastikan kepentingan awam dan kelestarian alam sekitar diutamakan," jelasnya.

Selain itu, bekas Menteri Besar Johor itu turut memaklumkan kerajaan sebelum ini memperkenalkan peraturan yang lebih ketat standardnya berbanding peringkat antarabangsa.

"Projek LAMP adalah projek pemprosesan bahan berasaskan kimia dan bukannya sebuah loji berasaskan nuklear atau sesuatu seumpamanya. Ini adalah kekeliruan paling besar.

"Saya tidak pelik kerana, individu seperti Fuziah sendiri sentiasa memilih untuk bersifat pukul rata dalam memburukkan projek LAMP sedangkan menerusi projek ini, pendedahan sinaran radioaktifnya adalah sangat kecil dan tidak membahayakan," katanya.