Penang tak gentar Sabah

Manzoor Azwira tuntut komitmen tinggi Pulau Pinang ketika melayan kunjungan Sabah di Stadium Batu Kawan. - Foto FAPenangOfficial
Manzoor Azwira tuntut komitmen tinggi Pulau Pinang ketika melayan kunjungan Sabah di Stadium Batu Kawan. - Foto FAPenangOfficial
A
A
A

KETUA Jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid tidak gentar dengan status juara Liga Premier yang disandang Sabah menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada aksi kedua kempen Piala Malaysia di Stadium Batu Kawan malam ini.

Menurutnya, perlawanan yang akan dilalui skuad Harimau Kumbang itu berbeza berbanding saingan di pentas Liga Premier dan beliau optimis mampu meraih tiga mata pertama dalam saingan Kumpulan C itu.

“Saya selalu katakan bahawa suasana dalam Piala Malaysia cukup berbeza. Ia tidak sama seperti bermain dalam Liga Premier mahupun menentang pasukan Liga Super. Apa juga beoleh berlaku dan kami berpeluang untuk mendapatkan kemenangan.

“Saya juga menasihati pemain supaya cepat menyesuaikan diri dengan suasana dalam saingan Piala Malaysia dan turun dalam perlawanan akan datang dengan semangat mahu meraih tiga mata berharga,” katanya.

Pada masa sama, Manzoor Azwira mahu barisan pemainnya menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk meraih kemenangan ke atas Sabah yang tewas 0-3 kepada Perak di Ipoh Ahad lalu.

“Saya memuji kesungguhan pemain-pemain walaupun kami tewas 1-3 kepada Pahang Sabtu lalu. Saya harap momentum tersebut akan dapat diteruskan dan dalam masa sama mengharapkan aksi cemerlang dapat dipamerkan mereka.

“Peluang masih ada untuk kami mengintai slot ke peringkat seterusnya dan kami harus menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk meraih tiga mata berharga,” jelasnya.

Berdasarkan rekod dalam saingan Liga Premier musim ini menyaksikan Pulau Pinang meraih satu kemenangan dan satu seri ketika berdepan skuad Tambadau itu.

Artikel Berkaitan: