Cara kurangkan sakit pada tumit kaki

tumit
A
A

SAKIT tumit, masalah yang kerap dihadapi oleh mereka yang berusia khususnya 40-an ke atas. Masalah sama juga kepada mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.

Pelbagai faktor yang menjadi penyebab kepada sakit tumit. Namun, punca paling utama adalah Plantar Fasciitis, iaitu keadaan di mana berlaku keradangan pada tisu serat di bawah tapak kaki.

Bagi mereka yang menghadapi masalah tersebut, bolehlah melakukan perkara berikut untuk mengurangkan sakit pada tumit.

1) Senaman tapak kaki

Tumit kaki akan sakit bila kekurangan darah dan oksigen di bahagian tersebut. Amalkan beberapa regangan pada tapak kaki dengan cara berikut.

Mula-mula, duduk di atas kerusi dan silangkan kaki atas lutut anda yang lain, bengkokkan pangkal jari anda dan tarik ia ke arah badan anda sehingga anda rasa regangan yang selesa. Akhir sekali, tahan regangan tidak kurang daripada 30 saat dan ulangi latihan itu dalam lima hingga 10 kali dengan regangan yang sedikit dan sederhana dan tanpa sakit.

Anda juga digalakkan untuk membuat sedikit regangan tapak kaki sebelum tidur dan bangun dari tidur supaya otot tidak terkejut.

2) Rendaman kaki

Rendaman kaki bagus untuk melegakan tekanan pada tapak kaki. Caranya mudah, sediakan air rendaman kaki dalam besen. Campurkan air suam bersama garam kasar dan campuran bunga-bungaan (alternatif jika mahu kaki harum). Rendam kaki selama setengah jam, anda akan rasa tumit kaki lebih relaks.

3) Pilih kasut yang sesuai

Pemilihan kasut yang sesuai amat memain peranan pada tapak dan tumit kaki. Selain reka bentuk yang cantik, kasut juga harus memberi keselesaan dan tampungan yang baik pada kaki.

Pilih kasut yang sediakan span yang mencukupi pada tapak kaki. Elakkan daripada memilih kasut yang mempunyai tapak yang nipis kerana ia tidak menyokong kaki dengan baik pada tapak dan tumit anda.

4) Pilih aktiviti riadah yang sesuai

Buat mereka yang mudah sakit pada tumit kaki, anda perlu kurangkan aktiviti riadah yang memerlukan anda untuk berjalan atau berdiri pada masa yang lama seperti berjoging atau berlari.

Anda digalakkan untuk melakukan aktiviti seperti berenang atau berbasikal kerana ia aktiviti yang memberi kurang tekanan pada tapak dan tumit kaki.

5) Suntikan steroid

Jika sakit masih tidak baik, suntikan steroid pada tapak kaki merupakan salah satu rawatan yang boleh dicuba. Ia akan mengurangkan keradangan pada tumit kaki.

Tetapi perlu diketahui bahawa ia mempunyai komplikasi iaitu ia boleh menyebabkan fat pad atrophy. Lalu ia menyebabkan sakit tumit itu menjadi lebih teruk.

Sumber : Profhariz