Pentingnya skim bantuan pekebun kecil

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

NAMPAKNYA kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bercadang untuk meneruskan skim bantuan penanaman semula kelapa sawit kepada pekebun kecil yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok dilaporkan berkata, skim yang dilaksanakan melibatkan pekebun kecil persendirian itu tidak adil kerana tidak melibatkan keseluruhan pekebun kecil termasuk pekebun tersusun di tanah rancangan Felda dan Felcra.

Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membantu pekebun kecil melakukan penanaman semula.

Mereka yang layak menerima bantuan kewangan sebanyak RM7,000 bagi setiap hektar yang diusahakan di bawah skim TSSPK berkenaan.

Bagi menggantikan TSSPK, kerajaan PH memperkenalkan dua skim iaitu Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) membabitkan peruntukan dana sebanyak RM550 juta.

Banyak pihak berasakan bahawa keputusan kerajaan PH itu tidak adil dan meminggirkan mereka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, TSPKS dan IPPKS hanya akan menyebabkan pekebun-pekebun kecil terpaksa berhutang.

Dalam masa yang sama, pekebun kecil yang mencecah hampir 650,000 orang terpaksa berhadapan dengan kejatuhan harga kelapa sawit.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana pula nasib mereka yang terpaksa berhutang dan kekurangan dana sara hidup untuk menyara keluarga sementara menunggu hasil pokok matang?

Perbandingan dengan Felda dan Felcra adalah tidak adil. Majoriti pekebun kecil tidak akan mampu mengeluarkan modal sendiri bagi membiayai kos penanaman semula, sedangkan Felda dan Felcra mendapat bantuan daripada kerajaan untuk menampung kos penanaman semula.

Kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk meneruskan skim itu kerana golongan pekebun kecil merupakan penduduk luar bandar yang wajar dibantu secara berterusan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.

Kerajaan dapat meneliti dan meneruskan dasar kerajaan terdahulu yang memberi manfaat kepada rakyat, sekaligus membuktikan kesungguhan dalam membela nasib rakyat khususnya di luar bandar.