Perlu sokong sepenuhnya tulisan jawi dan seni khat

Normala
Normala
A
A
A

KLUANG – Penggunaan tulisan jawi dan seni khat yang ingin dimulakan semula dalam silibus pendidikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara sistematik perlu dipertahankan dan disokong oleh rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam.

Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman berkata, tulisan jawi yang memiliki nilai estetika tersendiri dan menjadi sebahagian dari seni dan keindahan tulisan Arab serta jawi ini wajar dipelihara.

“Jadi, bila KPM hendak melaksanakan semula tulisan jawi dan khat, saya lihat tindakan ini sebagai membayar harga sebuah kesilapan dan menebus kembali apa yang pernah dilakukan pemimpin terdahulu dalam persada pendidikan negara.

“Tulisan jawi ini pernah dimansuhkan ketika zaman Tan Seri Khir Johari menjadi Menteri Pendidikan yang menyebabkan ramai generasi muda dan anak-anak Melayu Islam tidak mahir menulis dan membaca jawi serta akhirnya lemah membaca Al-Quran,” katanya.

Menurutnya, dahulu di negara ini juga mempunyai akhbar jawi, namun disebabkan ramai generasi muda pada hari ini yang ‘buta jawi’ menyebabkan penerbitan akhbar ini terpaksa ditutup.

Pada masa sama, beliau juga melihat tindakan 138 pemimpin akar umbi DAP termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang menentang pengenalan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat mulai tahun depan sebagai rasis.

“Tindakan pimpinan DAP amat tidak bertamadun seolah-olah buta sejarah sedangkan apa yang ingin dilakukan oleh KPM adalah seni warisan ini perlu dipelihara supaya generasi pelapis pada masa akan datang tidak buta jawi dah tidak buta Al-Quran

“Selain DAP, tindakan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Cina seperti Dong Zhong juga sebenarnya menghina dan tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat boleh diteruskan selain menyifatkan bantahan yang diterima melibatkan sebahagian kecil masyarakat sahaja.

Beliau juga berkata, kerajaan sentiasa berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain di negara ini termasuk tulisan Cina kerana ia adalah sesuatu yang istimewa di Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin dan ADUN DAP menggesa anggota Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum tahun empat bahasa Melayu bermula tahun hadapan.