Najib tidak pernah saman Ambank kerana akaun disalah guna

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah memfailkan saman sivil terhadap AmBank kerana akaunnya disalah guna, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram pada hari ke-49 perbicaraan kes Najib melibatkan salah guna dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sithambaram: Apabila akaun ditutup, adakah terdapat tuntutan undang-undang terhadap salah guna dana dalam akaun?

Yu: Tiada.

Sithambaram: Akaun-akaun ini melibatkan sejumlah besar wang. Adakah terdapat pada bila-bila masa, sebarang pertanyaan daripada Najib mengenai pelaksanaan akaun?

Yu: Tidak, tidak ada sebarang pertanyaan atau aduan yang dibuat.

Sithambaram: Pada pengetahuan kamu, adakah terdapat sebarang dakwaan mengenai mana-mana cek yang dikeluarkan daripada akaun Najib yang tidak dikeluarkan olehnya? Yu menjawab: "Tidak."

Beliau berkata tiada pertanyaan daripada Najib mengenai sumber dana yang didepositkan ke akaun kerana beliau terus mengeluarkan cek.

Artikel Berkaitan:

Sithambaram: Apa urusan kamu yang menerima arahan Jho Low untuk memastikan cek Najib tidak menjadi cek lambung?

Yu: Pada masa itu, akaun berkenaan milik perdana menteri Malaysia. Sebagai perdana manteri sekiranya cek yang dikeluarkannya cek lambung bagi saya ia memalukan. Itulah dalam fikiran saya pada masa itu.

Terdahulu semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, saksi itu menafikan yang beliau melindungi ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Harvinderjit: Adakah anda cuba melindungi Jho Low?

Yu: Tidak.

Harvinderjit: Kamu berkomunikasi dengannya dalam beberapa hari ini?

Yu: Tidak.

Saksi itu berkata beliau tidak tahu sama ada Jho Low tidak jujur atau tidak.

Yu, yang kini tidak bekerja berkata beliau membawa AmBank ke Mahkamah Perusahaan apabila bank berkenaan memintanya berhenti.

"Saya memfailkan aduan dengan Mahkamah Perusahaan. Ada sebutan kes," katanya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. - Bernama