Tarik balik skim tanaman tindas penduduk luar bandar

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk tidak akan melaksanakan skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini disifatkan sebagai bentuk penindasan terhadap penduduk luar bandar.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, langkah kerajaan memperkenalkan dua skim iaitu Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) dilihat hanya menekan golongan petani.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pekebun kecil mampu meneruskan mata pencarian jika terpaksa membayar balik pinjaman bersama kadar faedah 4 peratus ketika harga komoditi jatuh merudum teruk.

"Lebih setahun memegang jawatan menteri, rakyat tidak nampak usaha berkesan kementerian untuk meningkatkan harga komoditi. Yang ada hanyalah 'kempen minum satu sudu minyak sawit' yang tidak memberi apa-apa kesan kepada peningkatan harga komoditi," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menggesa skim tersebut diteruskan dan diperluaskan kepada pekebun tersusun di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

"Jika pekebun kecil lain tidak mendapat skim ini, mereka akan terus tertekan dan hilang punca pendapatan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengaitkan langkah diambil kerajaan itu sebagai bentuk hukuman kepada rakyat luar bandar kerana tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Pengumuman seperti ini secara terang-terangan menindas rakyat Malaysia yang menetap di luar bandar. Secara amnya, penduduk di luar bandar adalah golongan yang terlibat dalam sektor pertanian.

Artikel Berkaitan:

"Adakah pengumuman ini sebagai 'hukuman' kepada majoriti penduduk luar bandar seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan Perlis yang menolak DAP dan PH pada PRU14?" katanya.

Semalam, Menteri Industri Utama, Teresa Kok maklumkan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Jelasnya, skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra.