Sekumpulan 26 rakyat Malaysia terkandas di Jeddah

Fuziah
Fuziah
A
A
A

MAKKAH - Sekumpulan 26 rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah dekat sini sejak pukul 7 pagi semalam setelah kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan kemasukan mereka untuk mengerjakan haji pada musim ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata kumpulan itu tiba menggunakan penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan kemasukan mereka tidak dibenarkan dipercayai akibat masalah teknikal pada visa haji furada yang mereka peroleh.

"Petugas haji kita sedang menjaga kebajikan mereka, jaga makan minum pastikan mereka dalam keadaan selesa dan sebagainya. Apa boleh kita buat adalah melihat kepada kebajikan mereka.

"Saya ingin memaklumkan kepada keluarga mereka di Malaysia bahawa pihak (Lembaga) Tabung Haji menjaga kebajikan mereka walaupun mereka pergi bukan di bawah Tabung Haji. Mereka lalu penerbangan komersial, jika mereka lalu Makkah Route imigresen sudah kesan awal visa mereka ada masalah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini dipercayai perjalanan kumpulan itu diuruskan sebuah syarikat, bagaimanapun kerajaan Malaysia menyerahkan sepenuhnya siasatan serta tindakan terhadap perkara itu kepada pihak kerajaan Arab Saudi.

Katanya kumpulan itu akan diterbangkan pulang ke Malaysia malam ini setelah semua proses diperlukan kerajaan Arab Saudi diselesaikan. -Bernama

Artikel Berkaitan: