Mengapa perlu takut pada tulisan jawi?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEPUTUSAN tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap keputusan kerajaan meneruskan cadangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam buku teks sekolah untuk kurikulum Tahun 4 Bahasa Melayu bagi sekolah vernakular di negara ini melegakan banyak pihak.

Tambah Perdana Menteri, beliau percaya kepada dasar kemakmuran bersama kerana kerajaan turut tidak pernah membantah penggunaan penulisan dalam Bahasa Cina di negara ini.

Langkah tersebut juga adalah suatu yang istimewa di negara kita berbanding di beberapa buah negara serantau yang lain. Ini kerana, tulisan dalam bahasa Cina tidak dibenar di negara lain seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand yang menggunakan bahasa ibunda mereka dalam proses pendidikan.

Isu ini menjadi bualan hangat apabila seramai 138 pemimpin akar umbi termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4.

Memetik laporan Akhbar Sin Chew Daily sebelum ini, subjek khat Jawi akan diperkenalkan dalam kurikulum Bahasa Melayu Darjah 4 di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Tambahan pula, cadangan tersebut juga dibantah oleh dua pertubuhan pendidikan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Merujuk kepada kandungan dalam Dokumen Standart Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tahun 4 untuk kegunaan 2020 seperti dalam Standart Kandungan 4.4 yang menyebut “mengaplikasikan, menghayati dan menghasilkan unsur keindahan dalam seni khat’, maka cadangan kerajaan ini bukanlah suatu langkah yang dianggap mendatangkan implikasi negatif bagi sesetengah pihak.

Perkara ini jelas selari dengan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching ketika merasmikan Penulisan Kreatif Bahasa Cina antara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 memberitahu tulisan Jawi atau seni khat dalam buku teks sudah digunakan sejak tahun 2016 dan jika diikutkan keputusan pada tahun itu, seni khat akan dimasukkan ke dalam buku teks pelajar Tahun Empat menjelang 2020. Menurut Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, tulisan itu akan diperkenalkan tahun depan memandangkan perancangan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dalam kurikulum sekolah sudah pun dimulakan sejak 2014 lagi.

Pencerahan

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam satu wawancara bersama sebuah portal menegaskan langkah kementerian itu memperkenal tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4 bukannya bertujuan mewujudkan proses Islamisasi di sekolah vernakular. Ujarnya lagi, masyarakat sewajarnya tidak harus melihat pengenalan Jawi sebagai suatu bentuk asimilasi budaya sebaliknya sebagai usaha untuk mengenali warisan dan identiti negara. Seterusnya, kerajaan juga tidak mengarahkan pembelajaran tulisan Jawi secara menyeluruh, malah ia turut tidak dimasukkan dalam mana-mana peperiksaan.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, “bukan semua (yang membantah) itu adalah ahli DAP, tapi ada satu bahagian daripada DAP yang menentang jadi saya ingat kita boleh teruskanlah”. Perkara ini terbukti apabila penolong setiausaha wanita DAP kebangsaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dilaporkan bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan menyifatkan pelaksanaan modul itu yang telah lama dirancang itu hanya bertujuan mengekalkan warisan seni khat di negara ini.

Menurut beliau, mungkin segelintir pihak tidak memahami dengan jelas tentang tulisan jawi, mereka menganggap tulisan ia adalah islamik tetapi lebih kepada bahasa Melayu yang diterjemahkan daripada rumi sebab bunyinya masih bahasa Melayu dan bukannya mengikut bahasa Arab. Selaras dengan usaha bagi memupuk warisan sejarah ini, beliau juga turut menyarankan agar semua pihak perlu bertenang dan mengelakkan daripada menjadikan isu itu satu sentimen yang boleh menakutkan mana-mana pihak. Tambah beliau, perkara ini perlu dijelaskan dengan betul agar semua pihak memahami dengan jelas tujuan tujuan pelaksanaan kurikulum yang diputuskan oleh kementerian.

Lebih menarik ulasan daripada Lim Kit Siang, pemimpin veteran DAP yang mendedahkan bahawa beliau sendiri pernah mempelajari sendiri tulisan Jawi semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1969. Ujarnya, usaha beliau mempelajari tulisan tersebut tidak menjadikan beliau “kurang Cina” sebaliknya mengukuhkan jati dirinya sebagai seorang rakyat Malaysia. Mungkin ditanya kepada saya, “adakah seseorang yang mempelajari jawi itu mengkhianati kaum, bahasa dan budaya Cina?” Bagi saya, jawapannya “tidak,” katanya dalam suatu kenyataan kepada media tempatan baru-baru ini.

Langkah ini juga disokong oleh beberapa tokoh bahasa di negara ini antaranya Profesor Madya Dr Lim Swee Tin dan Profesor Datuk Dr Nik Safiah Karim yang menyatakan pengenalan tulis khat dalam buku teks sekolah sama sekali tidak akan menggugat kestabilan kaum dan agama, malah tulisan jawi yang merupakan dasar budaya dan bahasa mempunyai nilai yang mendalam dalam tinggalan khazanah negara ini.

Sudut pandang positif

Oleh yang demikian, pengenalan tulisan khat dalam buku teks ini perlulah dilihat secara positif dan terbuka. Ini kerana, berdasarkan sejarah tulisan jawi juga pernah menjadi tulisan perantaraan di Tanah Melayu suatu ketika dahulu serta digunakan oleh Raja-Raja Melayu dalam urusan rasmi atau surat-menyurat. Sewajarnya, ia secara tidak langsung akan menjadi suatu nilai tambah kepada pencerapan ilmu dalam kalangan ilmu terutamanya bagi pelajar di negara ini yang memiliki kepelbagaian kaum. Sewajarnya, DAP sebagai salah satu parti komponen kerajaan pada hari ini sewajarnya lebih mengutamakan isu-isu yang lebih penting seperti kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat seperti yang telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, bukannnya menimbulkan polimik yang menggungat keharmornian kaum di negara ini. Tambahan lagi, dasar berkenaan telah diperkenalkan sejak sekian lama iaitu diputuskan semenjak tahun 2016 lagi.

Penulis merupakan penuntut Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah), Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM).