Polis lupus barangan judi siber bernilai RM1.3 juta

Mohd Said (kiri) menunjukkan mesin judi siber yang telah dimusnahkan.
Mohd Said (kiri) menunjukkan mesin judi siber yang telah dimusnahkan.
A
A
A

SEREMBAN - Barangan berkaitan judi jenayah siber bernilai RM1.3 juta dilupuskan dalam majlis Pelupusan Barangan Kes di Stor Barang Kes Berpusat di Sikamat, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pelupusan barang kes berkenaan membabitkan kes di bawah kendalian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan IPD Nilai sejak 2014 hingga 2018.

"Ia melibatkan sebanyak 808 peralatan elektronik dan komponen komputer bagi 59 kertas siasatan dengan jumlah tangkapan seramai 313 orang.

"Daripada tangkapan itu, sebanyak 91 orang dituduh di mahkamah atas kesalahan menjadi penganjur dalam aktiviti perjudian," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif melupuskan barang kes judi siber menerusi kaedah E-waste selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta sesuai dengan konsep 'Go Green'.

Katanya, polis memandang serius aktiviti perjudian dan usaha membanterasnya akan dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa.

"Usaha ini dilihat sejajar dengan hasrat pucuk pimpinan untuk membanteras secara total kegiatan tidak bermoral ini," katanya.

Artikel Berkaitan: