Macam mana nak tegur?

Bermula 1 Januari semua premis makanan menjadi tempat larangan merokok.
Bermula 1 Januari semua premis makanan menjadi tempat larangan merokok.
A
A
A

SEREMBAN - Kurang dari seminggu, penguatkuasaan larangan merokok di restoran dan premis makanan dilaksanakan 1 Januari depan.

Mengikut Akta Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, individu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Malah pemilik premis makanan juga boleh didenda RM2,500.

Tinjauan di beberapa restoran di daerah ini mendapati, kebanyakan pemilik menyambut baik peraturan itu.

Namun mempersoalkan bagaimana tindakan paling sesuai yang harus dilakukan mereka jika ada pelanggan yang masih berdegil.

Pelanggan buat tak tahu

Pemilik restoran di Seremban 2, Mohd Rosdi Chemood, 67, berkata, sejak restorannya dibuka empat tahun lalu, papan tanda larangan merokok telah pun dipasang.

“Tapi biasanya pelanggan buat tak tahu saja. Dulu saya letak bekas abu rokok, tapi bila fikir kita galakkan lagi pelanggan merokok, saya tak sediakan lagi dah.

“Bila macam itu, pelanggan akan buang atas lantai. Tapi, sebagai pemilik restoran apa tindakan paling sesuai yang boleh kami buat, nak tegur atau biarkan saja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keputusan kerajaan sangat baik dan dialu-alukan, namun jadi persoalan sejauh mana penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh.

Tempat khas merokok

Selain itu, pemilik restoran di Ampangan, Khairul Rahman Ali Rahman, 41, berkata, sebagai menyambut baik peraturan baharu itu, dia akan memasang beberapa papan tanda sebagai makluman, selain menyediakan tempat khas merokok di luar premis.

“Boleh dikatakan merokok itu satu budaya dalam masyarakat kita kerana di mana-mana akan kelihatan orang merokok, termasuk di kedai makan.

“Bila kerajaan nak kuat kuasakannya, saya memang sokong. Saya tak rasa ia akan menyebabkan pelanggan tak mahu datang ke kedai saya, tapi akan buat ramai pelanggan lebih selesa,” katanya.

Namun yang merisaukannya jika didenda oleh pihak berkuasa disebabkan ada pelanggan yang tidak mengendahkan larangan itu.

Katanya, ia adalah tidak adil kepada pemilik yang sekadar menjalankan perniagaan.

Pasang papan tanda larangan merokok

Papan tanda larangan merokok sudah dipasang, tetapi biasanya tidak diendahkan pelanggan.
Papan tanda larangan merokok sudah dipasang, tetapi biasanya tidak diendahkan pelanggan.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, menjadi tanggungjawab setiap pemilik premis makanan memasang papan tanda larangan merokok dan tidak menyediakan bekas abu rokok.

Katanya, langkah itu sebagai satu bentuk pendidikan kepada masyarakat sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat.

“Peringatan telah diberi melalui pelbagai saluran termasuk mengadakan kempen.

"Saya rasa tidak ada alasan lagi untuk kita menangguhkan penguatkuasaannya.

“Jadi saya nasihatkan kepada perokok khususnya supaya ambil serius peraturan baru ini jika tidak mahu didenda,” katanya.