Jho Low beritahu Najib enggan tutup akaun Ambank: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, memaklumkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu menutup akaunnya dengan AmBank.

Perkara berkenaan didedahkan bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping, 48, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh pada hari ke-48 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan salah guna dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta.

Beliau mengesahkan transkrip perbualan antara beliau dan Jho Low yang dibacakan di mahkamah oleh Harvinderjit.

Harvinderjit: Pada 20 Dis, 2014, kamu memaklumkan Jho Low supaya menutup akaun Najib dan beliau memaklumkan 'tanya MNR (Mohd Najib Razak), beliau tidak mahu ditutup'

Yu: Ya.

Sebelum itu, mahkamah diberitahu bahawa pada akhir 2014, pengurusan kanan AmBank mencadangkan dan membincangkan mengenai penutupan akaun semasa Najib memandangkan akaun tersebut sentiasa terlebih pengeluaran dan bank sering perlu menunggu dana yang mencukupi didepositkan bagi menjelaskan cek yang dikeluarkan Najib.

Yu berkata beliau tidak mensyaki apa-apa yang tidak kena selama berurusan dengan Jho Low.

Harvinderjit: Adakah kamu bersetuju jika semasa kamu berurusan dengan Jho Low, kamu mempunyai perasaan syak yang kuat bahawa beliau tidak berkomunikasi dengan pemegang akaun (Najib), kamu akan memaklumkannya kepada bank.

Yu: Saya akan memaklumkannya kepada (bekas pengarah urusan kumpulan Ambank Group) Cheah Tek Kuang.

Harvinderjit: Dan kamu akan menjadi amat, amat keberatan untuk berurusan dengan Jho Low bagi perkara yang berkait dengan akaun (akaun Najib) itu?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Tetapi kamu tidak mempunyai perasaan syak yang kuat. Tidak sehingga sekurang-kurangnya 2014, 2015.

Yu: Apabila kami memberitahunya (Jho Low) untuk menutup akaun (Najib) itu.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa RM5 juta yang dipindahkan daripada sebuah syarikat pembinaan, Putra Perdana Development Sdn Bhd ke akaun MY Najib yang nombor akaunnya berakhir dengan 906, dilakukan dalam tempoh sehari.

Pemindahan RM5 juta itu bertujuan untuk mengeluarkan cek daripada akaun berakhir dengan nombor 906, menyebabkan sejumlah RM3 juta terlebih dikeluarkan.

Yu berkata Jho Low telah memintanya memindahkan kembali RM27 juta dan RM5 juta ke akaun AmBank tertuduh yang nombor akaunnya berakhir dengan 880 dan 906, pada 2014.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 13 Ogos untuk mendengar permohonan Peguam Negara Tommy Thomas supaya Najib memohon maaf berhubung hantarannya di Facebook.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung esok. -Bernama