NGO diminta waspada tsunami kedua

SAID ALDI
SAID ALDI
A
A
A

LABUAN - INDONESIA. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan misi kemanusiaan di sekitar Selat Sunda diingatkan agar berwaspada susulan kemungkinan berlakunya gelombang tsunami kedua dalam masa terdekat.

Ketua Umum Badan Komunikasi Pemuda Remaja Masjid Indonesia, Said Aldi Al-Idrus berkata, melalui maklumat diterima, dinding gunung Anak Krakatau akan runtuh pada bila-bila masa yang akan menyebabkan berlakunya tsunami.

"Kebiasaanya kalau sudah jatuh sebelah, maka dinding sebelahnya akan jatuh pula dalam dua atau tiga hari atupun dalam minggu itu.

"Ini info kita terima dari pihak berkuasa (Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika). Seluruh NGO diminta berhati-hati kerana dijangka akan berlaku lagi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di bilik gerakannya, semalam.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar berhati-hati serta menjauhi kawasan pantai Carita dan Lampung.

"Hari ini (semalam) berlaku banjir paras dada cuma 200 meter dari posko ini. Kita harus berhati-hati, tsunami sebelum ini berlaku tanpa apa-apa amaran kerana biasanya aba-aba tsunami itu diperkirakan susulan gempa.

"Tapi sekarang ini gerakan Anak Krakatau menjadi punca tsunami. Tak ada yang boleh memberi kepastian dalam hal sebegini," katanya.

Sehingga semalam, jumlah mangsa yang terkorban (430 orang), cedera (1,495), hilang (159) manakala mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara seramai 21,991 orang.

Artikel Berkaitan: