Perak catat rekod tertinggi tahan kes dadah

Hong Shuan bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner R Ravi Chandran (kiri) dalam sidang media di IPK Perak hari ini.
Hong Shuan bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner R Ravi Chandran (kiri) dalam sidang media di IPK Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Polis Perak mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi berbanding kontinjen lain di seluruh negara apabila memberkas 1,027 individu dalam Op Ice Breaker yang dijalankan sejak 29 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, dalam tempoh lapan hari operasi dilaksanakan, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM88,995.

Menurutnya, operasi yang dijalankan serentak seluruh negara adalah langkah proaktif Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekang aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah.

"Ini merupakan tangkapan tertinggi berbanding kontinjen lain apabila seramai 89 orang ditahan kerana didapati melakukan kesalahan mengedar dadah dan dari jumlah itu 54 orang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Seramai 259 orang pula ditahan kerana memiliki dadah manakala 679 orang ditahan selepas ujian air kencing mendapati mereka positif dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Hong Shuan berkata, dalam operasi itu, polis turut menyerbu 23 lokasi dipercayai menjadi tumpuan penagih dan menahan sembilan pengedar tokan dadah.

"Antara dadah yang dirampas adalah heroin 1.13kg syabu (191.8g), ganja (53.16g), Yaba (0.15g), ekstasi (dua pil), daun ketum (12.5kg), kodein (11.8 liter) dan air ketum (79.8 liter).

"Suspek yang ditahan akan disiasat atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak berjaya menahan 8,201 individu dari Januari hingga Julai lalu dan nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM3.2 juta.