Kuartet renang lelaki raih perak, lebur rekod kebangsaan

Ng Shin Jian ketika beraksi dalam acara lelaki 4x100 meter gaya bebas berganti-ganti akhir sempena Sukan SEA 2023. - Foto: Bernama
Ng Shin Jian ketika beraksi dalam acara lelaki 4x100 meter gaya bebas berganti-ganti akhir sempena Sukan SEA 2023. - Foto: Bernama
A
A
A

KUARTET renang lelaki negara merangkul pingat perak dan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x100 meter (m) gaya bebas pada temasya Sukan SEA 2023 di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo di sini, malam ini.

Pada aksi final yang mendebarkan, kuartet negara yang dibarisi pemenang emas 200m gaya bebas lelaki temasya, Khiew Hoe Yean, Lim Yin Chuen, Arvin Shaun Singh Chahal dan Terence Ng menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa tiga minit dan 20.61 saat (s).

Biarpun tidak berjaya membutirkan pingat emas, kuartet negara sekurang-kurangnya boleh tersenyum apabila berjaya meleburkan rekod kebangsaan 3:21.06s yang dilakukan Keith Lim, Welson Sim, Chan Jie dan Foong Wei Tze yang dicipta pada Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Emas menjadi milik Singapura selepas mengakhiri perlumbaan dengan catatan masa 3:17.35s manakala kuartet Vietnam meraih gangsa dengan catatan 3:21.09s.

"Ia adalah perlumbaan yang sangat baik, dapat tebus balik kekalahan tahun lepas, jadi rasanya seronok untuk kembali ke podium,” kata Arvin Shaun kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di sini, malam ini.

Sementara itu, Hoe Yean berkata: "Ia agak sukar untuk saya kerana saya menghadapi acara berturut-turut hari ini, tetapi saya melakukan yang terbaik dan.. ya, saya sangat gembira dengan pingat perak,”.

Hoe Yean turut menambah koleksi pingatnya pada hari terakhir saingan renang apabila meraih gangsa dalam acara 200m kuak lentang dengan catatan 2:01.74s di belakang Tonnam Kanteemool dari Thailand yang memenangi emas (2:01.29s) dan perenang Vietnam Nguyen Tran Hung kedua (2:01.34s).

Dengan acara renang melabuhkan tirainya malam ini, skuad renang kebangsaan mengumpul keseluruhan satu emas, dua perak dan empat gangsa, selain berjaya mencipta tiga rekod baharu kebangsaan masing-masing dalam acara 4x100m gaya bebas lelaki, 400m individu lelaki medley dan 4x100 lelaki medley.

Kutipan pingat itu sedikit merosot berbanding edisi 2021 di Hanoi, Vietnam tahun lepas apabila Malaysia meraih satu emas, empat perak dan dua gangsa.

-- BERNAMA

TAG: renang, sukan sea 2023, 4x100m, gaya bebas lelaki, rekod baharu