Tiada penamat perangi pemerdagangan manusia

KUALA LUMPUR, - Malaysia kekal berdiri teguh dalam usahanya memerangi isu pemerdagangan manusia dan pendirian ini dibuktikan dengan penurunan jumlah mangsa pemerdagangan di negara ini sejak beberapa tahun lepas.
Sehubungan itu juga, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun kerajaan mengetahui hakikat bahawa jenayah kejam ini tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata, namun ia tidak akan berlembut dalam memerangi jenayah itu dengan menggunakan undang-undang.
Para pegawai penguatkuasa undang-undang tempatan juga diingatkan agar terus berdiri teguh dalam melaksanakan tugas mengikut lunas undang-undang, katanya pada perasmian Persidangan Anti-Pemerdagangan Manusia Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.
“Memandangkan pemerdagangan manusia juga jenayah merentas sempadan yang membabitkan perundangan lain, kerajaan Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara jiran untuk mengesan, mengawasi dan memberkas penyeludup,” kata Muhyiddin.














