Pemuda Amanah Perak lulus had umur ahli 15 tahun

Mohd Syamsul Alaudin
Mohd Syamsul Alaudin
A
A
A

IPOH - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mencadangkan had umur pendaftaran keahlian parti itu diturunkan kepada sekurang-kurangnya 15 tahun ke atas bagi meramaikan lagi barisan pelapis kepimpinan parti pada masa hadapan.

Ketuanya, Mohd Syamsul Alaudin berkata, usul diketengahkan itu diluluskan dalam mesyuarat Konvensyen Pemuda Amanah Perak dan pihaknya berharap cadangan itu diberi perhatian serius supaya lebih ramai golongan belia dilibatkan dalam aktiviti kepartian.

Menurutnya, cadangan itu diusulkan selaras dengan langkah kerajaan meluluskan pindaan had umur pengundi pilihan raya diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun pada 16 Julai lalu.

"Cadangan ini penting bagi menggalakkan penglibatan golongan belia terutama remaja dalam latihan kepimpinan, sekali gus memupuk sikap bertanggungjawab dan beramanah dalam diri mereka.

"Selain itu, inisiatif ini juga dilihat dapat menghindarkan golongan belia terutama remaja lepasan sekolah daripada terjebak ke arah gejala sosial memandangkan masa terluang selepas waktu sekolah akan terisi dengan pengisian aktiviti positif," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Syamsul yang juga Setiausaha Amanah Kawasan Pasir Salak berkata, pendedahan awal golongan belia dan remaja berusia 15 tahun ke atas dalam bidang politik juga akan membantu menggilap bakat kepimpinan mereka lebih awal.

Menurutnya, golongan ini sudah pasti akan dipimpin oleh pemimpin berpengalaman di peringkat akar umbi di samping menerima pengalaman berharga daripada pemimpin utama parti di peringkat negeri dan nasional.

"Melalui pendekatan awal sebegini, tidak mustahil Amanah mampu menampilkan calon-calon pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil (PRK) muda pada usia 20 tahun ke bawah sekiranya pemimpin belia itu terbukti mempunyai karisma, berbakat, daya kepimpinan tinggi, berilmu dan disenangi masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

"Amanah sebelum ini membuktikan tidak gentar mempertaruhkan calon muda seawal usia 26 tahun iaitu Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing pada PRU14 lalu dan saya yakin, lebih ramai lagi calon muda akan diberi peluang pada PRU15," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Syamsul turut menegaskan Pemuda Amanah Perak akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi melancarkan persiapan parti itu menghadapi PRU15.

Menurutnya, selain memfokuskan latihan perkaderan ahli, rancangan memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam PH dan penambahan ahli baharu, Pemuda Amanah Perak bakal membincangkan strategi menghadapi perang siber di laman sosial bagi menangkis persepsi buruk terhadap kerajaan PH secara tuntas.

Barisan kepimpinan Pemuda Amanah Perak baharu:

Ketua Pemuda - Mohd Syamsul Alaudin

Timbalan Ketua Pemuda - Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis

Naib Ketua I - Muhamad Nakhaie Abd Wahab

Naib Ketua II - Mohd Fitri Asmuni