Kemiskinan bandar rakyat Malaysia

A
A
A

BENARKAH ramai rakyat Malaysia tergolong sebagai kelompok miskin bandar? Realiti atau retorik? Atau miskin bandar ini digambarkan sebagai tinggal di bandar-bandar besar mempunyai pendapatan yang amat rendah, keadaan rumah yang tidak selesa, bersandarkan kepada aspek-aspek fizikal, sosial dan ekonomi semata-mata? Adakah mempunyai pekerjaan tetap dengan gaji sebanyak kurang lebih RM3,000 sebulan dan menjalankan perniagaan sampingan turut berada dalam kelompok yang sama? Atau miskin bandar ini merujuk kepada mereka yang tinggal di bandar dan miskin tegar?

Kemiskinan bandar merupakan isu penting kerana kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan lebih daripada dua pertiga rakyat Malaysia kini tinggal di bandar.

Pendefinisian kemiskinan bandar ini masih diperdebatkan dengan melihat kepada pelbagai konteks yang berdasarkan kepada pelbagai faktor dan pengistilahan semasa.

Kemiskinan seringkali dirujuk sebagai suatu fenomena kekurangan, ketidakcukupan atau ketidakstabilan pendapatan isi rumah sehingga menjurus kepada penggunaan yang tidak cukup mahupun lengkap, risiko yang disebabkan oleh kegagalan memperoleh kemudahan dan barang terutama keperluan asas, perumahan yang berkualiti rendah yang menyebabkan mudah terdedah kepada masalah kesihatan, jenayah dan bencana alam semula jadi, diskriminasi dan kemudahan yang terhad kepada pasaran buruh secara formal terutamanya kepada wanita dan kumpulan etnik tertentu.

Tidak dinafikan pembangunan yang pesat banyak tertumpu pada kawasan-kawasan bandar yang masih belum diterokai bagi membolehkan Malaysia berdiri setanding dengan negara-negara maju lain.

Malaysia tidak terkecuali meletakkan satu penanda aras yang tinggi memastikan Malaysia berjaya mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan ekonominya terus mantap dan kukuh yang diletakkan sasaran baharu oleh Perdana Menteri iaitu pada tahun 2025.

Laluan

Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang merangkumi tempoh antara 2016 hingga 2020 akan mengatur laluan negara Malaysia ke arah status negara maju dan keterangkuman yang lebih meluas.

Usaha ini akan dapat dicapai dengan bertunjangkan kepada enam tunjang strategik meliputi pelbagai isu pembangunan termasuk ekuiti, keterangkuman, kelestarian alam sekitar, pembangunan modal insan dan infrastruktur.

Artikel Berkaitan:

Apa jua pendekatan dan strategi yang bakal dilakukan serta diambil mempunyai sudut positif dan negatif terhadap negara sekaligus rakyat Malaysia.

Oleh itu, RMK-11 juga memberi penekanan khusus untuk meningkatkan hasil pasaran tenaga kerja dan menyasarkan peningkatan pendapatan pekerja, penyertaan tenaga kerja wanita dan pekerjaan berkemahiran, selain meningkatkan kualiti pendidikan serta padanan kemahiran kepada keperluan industri bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan melibatkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Kos sara hidup yang tinggi, kemiskinan bandar dan harga rumah yang terlalu mahal semakin membelenggu golongan berpendapatan rendah dan sederhana atau dikategori sebagai B40 dan M40.

Kerajaan Malaysia sentiasa memberi perhatian serius bagi membantu menangani masalah yang dihadapi oleh golongan tersebut.

Malah bagi golongan miskin tegar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengambil inisiatif mewujudkan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang bertujuan membantu warganegara Malaysia dalam kumpulan miskin dan berpendapatan rendah di bandar meningkatkan kualiti hidup di samping mengurangkan beban tanggungan keluarga.

Kumpulan sasar PPKB adalah terdiri daripada isi rumah B40, iaitu terdiri daripada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,860 sebulan dan ini termasuk isi rumah miskin tegar, miskin dan mudah miskin.

*Profesor Madya Noor Sulastry Yurni Ahmad ialah Pensyarah Fakulti Residen Sekolah Perniagaan Siswazah Othman Yeop Abdullah, Universiti Utara Malaysia, Kuala Lumpur