Berdakwah melalui logo

A
A
A

DAKWAH adalah tanggungjawab setiap Muslim. Setiap tingkah laku dan gerak-geri seorang Muslim seharusnya berlandaskan ajaran Islam yang syumul serta kesedaran untuk menyebarkan syiar Islam di samping mendidik masyarakat dengan nilai-nilai Islam yang sebenar.

Dakwah boleh dijalankan dalam pelbagai bentuk yang sesuai dengan keadaan pendakwah mahupun keadaan sasaran dakwahnya.

Baru-baru ini, saya ada berbincang dengan seorang pekerja hotel lima bintang di Kuala Lumpur bagi tujuan penganjuran Malaysia Global Chinese Muslim Conference (MGCMC) 2019, satu persidangan bertaraf antarabangsa yang melibatkan masyarakat Cina Muslim dari seluruh Malaysia serta peserta dari luar negara seperti China, Indonesia, Thailand, Hong Kong dan Taiwan.

Dalam perbincangan tersebut, saya telah memaklumkan kepada kakitangan hotel berkenaan, yang merupakan seorang wanita Cina bukan Islam, tentang keperluan untuk mencetak logo Persatuan Cina Muslim Malaysia atau dalam bahasa Inggeris, Malaysian Chinese Muslim Association (Macma).

Beliau tertarik dengan logo Macma yang tertera lima huruf Cina yang sebenarnya mewakili lima Rukun Islam.

Saya telah menggunakan ruang itu untuk menerangkan kepadanya tentang lima Rukun Islam. Lima Rukun Islam umpama lima tiang penting bagi sesebuah bangunan untuk berdiri teguh.

Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah Umar RA berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Islam itu didirikan atas lima (perkara) - Menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh ALLAH, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)Tulisan Cina yang terletak pada bahagian tengah logo Macma ialah 'nian' yang bermaksud syahadah.

Mengucap dua kalimah syahadah merupakan Rukun Islam yang pertama. Ia merupakan syarat paling utama agar semua amalan dan ibadah kita diterima ALLAH SWT. Apabila diucapkan oleh bukan Islam, seseorang itu secara rasmi dianggap mengisytiharkan dirinya sebagai penganut agama Islam.

Artikel Berkaitan:

Syahadah juga merupakan Rukun Islam yang pertama sekali diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat di Makkah sebelum datang perintah atau Rukun Islam kedua iaitu solat.

Pada logo Macma, huruf 'li' terletak pada kedudukan jam satu yang bermaksud solat. Solat merupakan hubungan terus antara seorang Muslim dengan Tuhan, ALLAH. Seorang Muslim ketika bersolat akan berhubung terus dengan ALLAH tanpa sebarang pengantara; tiada orang tengah dan tiada jurubahasa kerana ALLAH yang Maha Besar dan Maha Kuasa Mengetahui segalanya.

ALLAH malah tahu apa yang ada di dalam hati setiap manusia walau tidak diucapkan.

Huruf Cina yang selanjutnya pada logo Macma ialah huruf 'zhai' yang bermaksud puasa. Ia berada pada kedudukan jam lima. Puasa merupakan satu ibadah yang bertujuan mendidik hati agar lebih sabar dan ikhlas. Selain puasa wajib pada bulan Ramadan, umat Islam juga disarankan agar berpuasa sunat.

Antaranya, puasa sunat Isnin dan Khamis setiap minggu. Sebenarnya, masyarakat di Barat juga kini digalakkan untuk berpuasa dua kali seminggu untuk meningkatkan kesihatan diri.

Seterusnya, huruf yang berada pada kedudukan jam lapan pada logo Macma ialah 'ke' yang bermaksud zakat. Berzakat ialah amalan yang bertujuan untuk menyucikan harta dan hati daripada sifat bakhil. Zakat juga merupakan amalan untuk menyuburkan harta sekali gus menjadi pelaburan akhirat yang sangat menguntungkan.

Huruf Cina yang kelima dan terakhir pada logo Macma berada pada kedudukan jam 11 dan ia adalah huruf 'chao' yang bermaksud haji. Semua orang Islam yang mampu, wajib mengerjakan haji sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka.

Nabi Muhammad SAW sendiri hanya menunaikan haji sekali sepanjang usia Baginda. Ini menunjukkan yang penting bukan berapa kali seseorang itu ‘naik haji’ tetapi hikmah dan iktibar di sebalik perlakuan hajinya.

Alhamdulilah, logo juga boleh digunakan sebagai salah satu intsrumen dakwah dalam menyampaikan kebenaran dan keindahan Islam kepada mereka yang bukan Islam.

Sebagai contoh, logo Macma yang melaluinya kita boleh menerangkan tentang lima Rukun Islam yang menjadi tonggak kehidupan seorang Muslim. Sememangnya tiada alasan bagi seorang Muslim untuk tidak berdakwah. Mari berdakwah!

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Kebangsaan dan Pengerusi Macma Kelantan