Helikopter Nuri alami masalah mekanikal

Affendi ketika ditemui pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam Ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Affendi ketika ditemui pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam Ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kejadian pendaratan cemas sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di dalam kawasan Kem Gubir, Kedah semalam dipercayai berkaitan dengan masalah mekanikal.

Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang berkata, berdasarkan siasatan awal, masalah mekanikal berkenaan membabitkan rotor kipas helikopter berkenaan yang tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Kejadian ini masih belum ada punca spesifik lagi tetapi berdasarkan deskripsi diberikan juruterbang pesawat itu, ia mungkin ada kena mengena dengan masalah mekanikal.

“Maknanya, ketika kejadian rotor kipas pesawat ini tidak dapat mengekalkan kelajuan yang mana mengakibatkan ia kekurangan kuasa untuk terbang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam Ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Affendi berkata, operasi helikopter Nuri juga akan digantung sementara sehingga semua siasatan selesai.

“Sehingga kini, TUDM masih mempunyai lapan pesawat (Nuri) yang diperoleh sejak 1970-an yang beroperasi di Skuadron Kuching, Sarawak dan Butterworth, Pulau Pinang.

“Kita gantung sementara waktu sebab untuk teliti dan lihat punca kejadian dan pada masa sama apa-apa pun keputusan akan dibuat selepas lembaga penyiasatan buat rumusan dan keputusan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, media melaporkan helikopter Nuri yang berpengkalan di Butterworth itu terpaksa membuat pendaratan cemas semasa melakukan misi ulang bekal.

Bagaimanapun, empat anak kapal serta 11 penumpang dalam helikopter berkenaan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Nuri mendarat cemas di Kem Gubir, Kedah