Jangan guna racun tidak terkawal

Pegawai Pertanian Johor Bahru, Azizul Hafiz Azizan menyampaikan anak pokok simbolik kepada salah seorang pengunjung yang hadir ke majlis tersebut, hari ini.
Pegawai Pertanian Johor Bahru, Azizul Hafiz Azizan menyampaikan anak pokok simbolik kepada salah seorang pengunjung yang hadir ke majlis tersebut, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Petani, penternak dan nelayan diingatkan agar tidak menggunakan racun tidak terkawal demi menjamin kesihatan pengguna serta ekosistem negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam ucapan yang disampaikan wakil rasminya, Onn Jaafar berkata, golongan terbabit perlu peka dalam penggunaan baja serta racun.

"Jangan sesekali menggadaikan kesihatan dan nyawa pengguna hanya kerana ingin mengaut keuntungan berganda.

"Petani, penternak dan nelayan perlu mempunyai sifat peka dan bijak dalam pengawalan penggunaan baja mahupun racun semasa melaksanakan projek pertanian supaya tidak memudaratkan pengguna yang memakan hasil tersebut," katanya ketika merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat, Hari Bertemu Pelanggan, Penyampaian Sijil Insentif Perintis Keusahawanan Johor dan Sijil Projek Pembangunan 2019 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan penggunaan kaedah-kaedah pertanian terlarang perlu dikuatkuasakan lebih ketat.

Onn (dua,kiri) menyampaikan sijil kepada penerima.
Onn (dua,kiri) menyampaikan sijil kepada penerima.

"Ini penting demi rakyat dan masyarakat mendapat bekalan makanan yang bersih dan tidak terdedah dengan kesan racun tidak terkawal yang akan menggugat kesihatan pengguna.

"Amalkan amalan pertanian yang baik, jadikan pelaksanaan projek pertanian ini sebagai satu ibadah dan tanggungjawab kepada ALLAH SWT dan sesama manusia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dalam kita mengejar sumber kekayaan baharu, usaha penambahbaikan ekosistem pertanian juga perlu dipergiatkan bagi menjamin ekosistem negara supaya tidak tercemar.

Dalam majlis tersebut, seramai 84 usahawan dan petani menerima Sijil Bantuan Projek Pembangunan Negeri dan Persekutuan manakala 31 lagi usahawan menerima Sijil Perintis Keusahawanan Johor.

Peserta program juga sebelum ini diberi pendedahan tentang tips menanam durian belanda serta limau kasturi, malah 500 pengunjung terawal majlis tersebut menerima anak pokok serta baja secara percuma.