Ketagihan judi punca bunuh guna racun sianida

Sararat Rangsiwuthaporn. - Agensi
Sararat Rangsiwuthaporn. - Agensi
A
A
A

BANGKOK - Siasatan lanjut polis terhadap kes pembunuhan bersiri Sararat Rangsiwuthaporn di media sosial telah mendedahkan bahawa ketagihan judi dipercayai menjadi punca wanita itu meracuni 14 individu dengan sianida, lapor portal Thaiger.

Siasatan mendapati sekurang-kurangnya 78 juta baht (RM10juta) dikesan berada dalam akaunnya, dengan sebahagian wang itu dipindahkan ke akaun proksi bagi tujuan penerimaan wang daripada penjudi.

Mangsa racun Sararat didapati memindahkan sejumlah wang yang banyak ke akaunnya sebelum mereka ditemui mati.

Pemeriksaan terhadap aktiviti kewangan suspek telah mendedahkan bahawa dia mengalami kerugian hampir 1 juta baht (RM131,900) dalam tempoh sehari akibat berjudi.

Menurut ahli keluarga dan rakan-rakan, ia menjelaskan mengapa Sararat terdesak memerlukan wang.

Menurut sumber di mana sianida yang digunakan dalam meracun mangsa telah didapati, polis telah mengecilkan senarai berpotensi kepada sepuluh pembekal.

Polis kini menumpukan kepada salah seorang pembantu Sararat yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan terancang itu.

Pasukan forensik polis, dengan dibantu seorang profesor kimia di Universiti Kasetsart, Weerachai Phuthawong sedang memeriksa lebih 400 barang yang dikumpul daripada lokasi jenayah dikaitkan dengan Sararat.

Penemuan itu akan dimasukkan dalam laporan akhir polis.

Sararat ditahan pada 25 April lalu ketika hamil empat bulan susulan aduan difailkan ibu dan kakak kepada salah seorang daripada 14 mangsa, Siriporn Khanwong, 32 tahun.

Siriporn ditemui mati di tebing Sungai Mae Klong di daerah Ban Pong di Rachaburi. - Agensi