Tiada rakyat Malaysia terkesan akibat gempa bumi di Banten

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan tiada warganegara Malaysia yang terkesan akibat gempa bumi bermagnitud 7.4 Skala Richter yang berlaku di Banten, Indonesia petang semalam.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta masih lagi menunggu laporan daripada pihak berkuasa tempatan di Indonesia dan akan sentiasa memantau perkembangan kejadian ini.

“Rakyat Malaysia diminta sentiasa tenang dan mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini,” kata kedutaan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, Indonesia juga telah menarik semula amaran tsunami itu pada pukul 9.35 malam (waktu tempatan).

ARTIKEL BERKAITAN: Gempa kuat gegar Banten, Indonesia keluar amaran tsunami

Gempa bumi Indonesia: Ada rumah rosak di Banten

Warganegara Malaysia yang berada di sekitar kawasan terjejas dan memerlukan bantuan konsular dinasihat agar berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Semalam, gempa bumi berkekuatan 7.4 magnitud dilaporkan melanda wilayah Indonesia mencemaskan delegasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami).

Artikel Berkaitan:

Ketika kejadian, delegasi yang sedang mengikuti taklimat dan wawancara bersama Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana di sebuah bilik mesyuarat di Tingkat 8, Menara Lion Tower di Jakarta Barat.

Rusdi dan kumpulan wartawan itu kemudian bergegas turun melalui tangga kecemasan apabila menyedari lantai bangunan itu bergoyang selama dua minit.

Rusdi yang merupakan pemilik syarikat penerbangan Lion Air memberitahu, itulah pertama kali beliau merasai bangunan ibu pejabat Lion Air itu bergoyang kerana gempa.

Gempa berlaku sekitar 7.03 malam (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer itu berpusat di wilayah Banten, kira-kira 120 kilometer ke barat daya Jakarta.

Agensi Meteorologi dan Geofizika (BMKG) berkata, susulan gempa tersebut, agensi itu turut mengeluarkan amaran tsunami kepada penduduk di Banten, Bengkulu, Jawa Barat dan Lampung.

Gegaran turut dirasai di Jakarta dan kawasan sekitarnya. - Bernama