Amaran keras buat pengusaha parkir di Kuala Kedah

Mohd Asmirul Anuar Aris
Mohd Asmirul Anuar Aris
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha parkir berhampiran Jeti Kuala Kedah di sini, yang sengaja menaikkan harga hingga membebankan pengunjung yang ingin ke Langkawi terutama pada musim cuti sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata banyak aduan diterima pihaknya memaklumkan pengunjung terpaksa membayar lebih untuk parkir kenderaan mereka berbanding sebelum ini.

“Mereka yang berbuat demikian akan digantung atau dihentikan operasi serta-merta kerana ia akan memberi imej tidak baik kerana pelancong rasa tertipu dan kesannya akan menjejaskan industri pelancongan di negeri ini.

“Penguatkuasaan akan kita lakukan bersama-sama dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Kedah agar perkara ini tidak berlarutan dan terus menekan orang ramai,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Asmirul Anuar berkata terdapat segelintir pengusaha parkir di Kuala Kedah menaikkan kadar parkir antara RM30 hingga mencecah RM100 berbanding RM10 hingga RM15 sempena musim cuti sekolah ini.

Sementara itu, beliau turut meminta semua pengusaha feri agar dapat meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan mereka bagi menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan itu.

“Kita akan adakan mesyuarat Januari depan dan panggil semua pengusaha feri serta pemain-pemain industri untuk mencari mekanisme terbaik bagi memajukan sektor pelancongan di Langkawi kerana kita bimbang pelancong akan beralih ke tempat lain,” katanya.

Katanya, antara aduan yang paling kerap dilaporkan oleh pengunjung ialah mengenai kelewatan feri serta sistem pendingin hawa yang sering rosak dan tidak berfungsi dengan baik. - Bernama

Artikel Berkaitan: