BNM gempur rangkaian MSB wang haram

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menggempur rangkaian pengendali perniagaan perkhidmatan (MSB) wang haram yang disyaki membantu aktiviti pengiriman wang haram, terutamanya untuk pelanggan dan peniaga asing.

Operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) itu dijalankan di Lembah Klang dan Pulau Pinang, kelmarin.

Serbuan itu dilakukan di lapan premis yang terletak di Jalan Silang, Kuala Lumpur; Puchong, Selayang, Balakong dan Klang, Selangor serta, Georgetown dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

BNM menerusi kenyataan berkata, rangkaian ini disiasat kerana disyaki menjalankan aktiviti MSB tanpa lesen di bawah seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Operasi ini menyebabkan 35 akaun bank dibekukan dan wang tunai dan harta tanah berjumlah RM4 juta disita.

"Turut disita adalah dokumen, komputer dan telefon bimbit yang berkaitan dengan aktiviti tersebut," katanya.

Tambah kenyataan itu, sebanyak 14 individu telah disoal siasat untuk membantu siasatan.

"Selain itu, 22 pendatang tanpa izin yang dipercayai kakitangan dan pelanggan premis terbabit ditahan Imigresen untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan:

BNM berkata, bagai individu yang ditahan atas kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan di bawah seksyen 4(1) AMLA pula BNM menjelaskan, individu yang didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil aktiviti atau instrumen yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Dalam pada itu BNM menasihati orang ramai supaya tidak berurusan dengan mana-mana pengendali MSB haram untuk menghantar wang.

"Sesiapa yang terlibat tidak akan dilindungi daripada kerugian kewangan sekiranya berlaku pertikaian.

"Orang ramai harus menjalankan urus niaga mereka dengan perniagaan perkhidmatan wang berlesen, yang disenaraikan di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my)," katanya.