X

Kindly register in order to view this article
!

Dalang curi kereta mewah diburu

Mohamad Noor (kanan) menunjukkan Toyota Alphard yang telah dicuri oleh suspek di tempat letak kenderaan sebuah hotel di Teluk Cempedak pada 24 Julai lalu.
A
A

KUANTAN - Polis mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes mencuri kenderaan mewah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, suspek berusia 39 tahun itu dikehendaki pihak polis kerana dipercayai merupakan ketua kumpulan sindiket berkenaan.

Menurutnya, nama sebenar suspek dikenal pasti sebagai Lim Boey Huang dan alamat terakhirnya di Kota Kemuning Utama, Subang Jaya, Selangor.

"Sekiranya orang awam mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Risikan dan Operasi, Asisten Superitendan Muhammad Rizman Ramly di talian 09-5652061 atau 09-5652222," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.

Beliau berkata, suspek diburu susulan penahanan seorang suspek berusia 45 tahun dalam Ops Lejang pada 25 Julai lalu di UOA Business Park Shah Alam, Selangor oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Kuantan.

Mohamad Noor berkata, dalam operasi itu, polis berjaya merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard warna hitam

Menurutnya, MPV tersebut dicuri oleh suspek di tempat letak kenderaan sebuah hotel di Teluk Cempedak pada 24 Julai lalu.

"Kita telah lakukan ujian urin dan mendapati suspek negatif dari sebarang dadah namun mempunyai lima rekod lampau yang berkait dengan kes jenayah.

"Modus operandi suspek mencuri kenderaan menggunakan peralatan khas untuk mematikan sistem kunci elektronik.

"Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda," katanya.