Mohana dilantik pengerusi baharu CFM

Mohana Mohariff
Mohana Mohariff
A
A
A

CYBERJAYA - Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) mengumumkan pelantikan 13 Ahli Majlis Baharu bagi sesi 2019-2021, termasuk Pengerusi baharu Datin Mohana Mohariff, selepas Mesyuarat Agung Tahunan CFM ke-18 baru-baru ini.

Kesemua pelantikan itu berkuat kuasa 30 Julai 2019.

Mohana yang juga Naib Presiden Pengurusan Perkhidmatan Pelanggan Unifi, Telekom Malaysia, berkata beliau akan berusaha mempertingkatkan lagi inisiatif CFM menyebarkan kesedaran tentang hak pengguna komunikasi dan multimedia melalui tampuk kepimpinan CFM yang baharu ini.

“CFM telah melakukan pelbagai usaha bagi menyampaikan maklumat kesedaran sama ada kami turun padang terutamanya di kawasan pedalaman, mahupun secara digital menerusi media sosial kami dan juga kami turut menerbitkan bahan bacaan secara percuma,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mesyuarat agung itu berakhir.

Mohana berkata CFM turut membawa bersama pembekal perkhidmatan telekomunikasi turun padang dalam sesi bertemu pengguna bagi menjelaskan hak-hak mereka dan ini secara tidak langsung membolehkan pengguna membuat aduan terus kepada pembekal perkhidmatan.

Menjelaskan mengenai persediaan untuk menerima teknologi jalur lebar 5G, Mohana berkata pihak CFM akan menganjurkan kempen kesedaran kepada para pengguna komunikasi dan multimedia di negara ini.

Sementara itu, untuk pelantikan ahli majlis baharu, bekas Pengerusi CFM yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, manakala Azlinda Zainal Abidin yang mewakili Astro sebagai Setiausaha dan Abdul Rahman Samad daripada Pertubuhan Pembimbing Kewangan Pengguna dan Keluarga Malaysia sebagai Bendahari.

Lembaga Majlis CFM turut diwakili oleh Persatuan Pengguna Komunikasi dan Media Malaysia, Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Persatuan Kebajikan Pengguna Melaka, Persatuan Pengguna Miri, Persatuan Penyedia Kandungan Mudah Alih Malaysia, Celcom, YTL Corporation, TV3 dan Altel Communications.- Bernama

Artikel Berkaitan: