Khairol Anuar dilantik Pengerusi SIRIM Berhad

Khairol Anuar dilantik Pengerusi SIRIM Berhad yang baharu
Khairol Anuar dilantik Pengerusi SIRIM Berhad yang baharu
A
A
A

INSTITUT Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Berhad) mengumumkan pelantikan Technopreneur, Datuk Ir Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi sebagai pengerusi yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 20 Mei 2023.

Pelantikan pemegang Ijazah Sarjana Eksekutif dalam Pentadbiran Perniagaan daripada Cranfield Institute of Management, United Kingdom itu bagi menggantikan Tan Sri Ir Dr Ahmad Tajuddin Ali yang telah tamat tempoh perkhidmatan.

SIRIM Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, Khairol Anuar merupakan jurutera profesional bertauliah oleh Lembaga Jurutera Malaysia dan Felo Institut Pengurusan Malaysia (MIM) serta kini adalah ahli Lembaga Penasihat Digital Perak Corporation Berhad.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai lembaga pengarah di beberapa institusi seperti Tabung Amanah Melaka, Institut Sukan Negara, MAIM Holdings Berhad dan mantan Presiden Pengasas Pertubuhan Peruncit Bumiputera.

“Beliau mempunyai pengalaman dan kepakaran yang penting untuk jawatan utama ini.

“Pelantikan beliau mencerminkan aspirasi SIRIM dalam melaksanakan peranan dan fungsi organisasi ini sebagaimana yang telah dimandatkan oleh kerajaan.

“Selain mendorong SIRIM untuk terus memberi sokongan padu kepada rakan kongsi dan memastikan pertumbuhan yang mampan dengan memperkuatkan kemampuan dan terus relevan kepada industri melalui inovasi produk,” kata SIRIM Berhad dalam kenyataan pada Selasa.

Khairol Anuar mendapat pendidikan menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan selepas tamat pengajian tinggi, beliau memulakan kerjaya di Jabatan Telekom Malaysia pada 1983.

Lebih 14 tahun berkhidmat dengan pelbagai jawatan di Kumpulan SAPURA, beliau menubuhkan KAT Technologies Sdn Bhd pada 1994 sebagai pengerusi eksekutif.

Pada tahun sama, beliau menghadiri Harvard Senior Management Development Programme dan menjadi ahli Harvard Business School Alumni Club of Malaysia.

Beliau juga mempunyai ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Swansea, Wales, United Kingdom dan dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran dan Felo Kehormat pada 2015.

Antara anugerah yang diterima beliau adalah Anugerah Ikon Anak Melaka, Anugerah Tokoh Usahawan Islam Negeri Melaka, Usahawan Unggul oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Usahawan Terbaik oleh The Star dan Usahawan Teknologi oleh Young Entrepreneur Organization Malaysia.