Speaker nafi usul undi tak percaya ke atas MB

Ng Suee Lim
Ng Suee Lim
A
A
A

SHAH ALAM - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang hanya berlangsung selama dua hari sebelum ditangguhkan kelmarin didakwa tiada kaitan dengan desas-desus usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim menegaskan, penangguhan berkenaan tiada kaitan dengan usaha untuk menjatuhkan kepimpinan sedia ada di peringkat negeri.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan sebaliknya menjelaskan, penangguhan dilakukan kerana waktu perbahasan singkat dan ramai ADUN tidak hadir.

"Perbahasan usul ADUN yang mengambil bahagian tak ramai dan masa tiba-tiba pendek.

"Biasanya satu usul mengambil masa lebih setengah jam tapi semalam satu minit pun dah habis perbahasan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, sehingga semalam, pihaknya tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap menteri besar.

"Memang saya ada dengar cakap-cakap (usul undi tidak percaya kepada Amirudin) tapi tak ada yang berani kemukakan usul.

"Sepatutnya kalau ada, mereka kena beri awal ke Pejabat Speaker," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, ADUN yang tidak hadir pada sidang DUN semalam berlaku secara spontan menyebabkan semua perbahasan diambil dalam waktu singkat.

"Sidang DUN ini mengikut Peraturan Tetap 15(1) yang ditangguhkan pada masa akan diberitahu kelak," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan penangguhan Sidang DUN Selangor selepas hanya berlangsung selama dua hari hingga kelmarin menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Mengikut jadual yang diberi kepada media, Sidang DUN sepatutnya berlangsung selama sembilan hari bermula 29 Julai hingga 9 Ogos, namun mesyuarat bermula Isnin lalu hanya berlangsung dua hari sehingga Rabu lalu.

Sehingga kini punca Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kedua itu ditangguhkan tidak dapat dipastikan.