Premis kosong tempat biak aedes

Kanak-kanak yang turut menjayakan program sempena Gotong-Royong Mega 2.0 Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga, di sini. (Gambar kecil: Mohd Jusoh)
Kanak-kanak yang turut menjayakan program sempena Gotong-Royong Mega 2.0 Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga, di sini. (Gambar kecil: Mohd Jusoh)
A
A
A
KUALA TERENGGANU – Usaha membendung kes denggi di Terengganu dilakukan secara berterusan dengan menurunkan semua kekuatan jabatan sokongan yang ada bagi memastikan satu keputusan terbaik berhubung wabak itu berjaya dicapai.

Ekoran itu, pelbagai usaha dilakukan termasuklah melakukan pemeriksaan terhadap semua premis samada berpenghuni atau tidak, tapak pembinaan dan sebagainya.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, sehingga Oktober 2018, sebanyak 167,495 premis telah diperiksa dan sebanyak 2,316 daripadanya didapati positif pembiakan aedes.

“Sebanyak 1,281 premis telah dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 pindaan 2000 dengan bilangan kompaun yang dibayar dari 599 premis berjumlah RM100,520.

“Sebanyak 772 premis pula diberi notis atau amaran pembersihan di bawah Seksyen 8 bagi premis yang didapati banyak bekas pembiakan telah dikeluarkan manakala bilangan premis yang dibuat semburan adalah 133,783 buah dan yang dibuat ‘larvisiding’ atau membunuh jejentik, 150,366 buah setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan media sempena program Gotong-Royong Mega 2.0 Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga, di sini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Mohamed; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh.

Mohd berkata, beliau mendapati banyak usaha yang perlu ditambah baik dalam membendung wabak denggi di negeri ini seperti memberi tumpuan gotong-royong kepada lot-lot kosong serta rumah-rumah kosong kerana berdasarkan rekod, jabatannya menunjukkan banyak tempat positif aedes dijumpai di kawasan terbabit.