Tulisan jawi: KPM jangan tunduk desakan

Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pendidikan (KPM) dituntut supaya tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu yang membantah keputusan pelaksanaan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah tahun depan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, tindakan itu dibuat atas nama kepentingan politik semata-mata sekali gus boleh menggugat kewibawaan Bahasa Melayu dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

"Menggunakan sentimen politik tanpa kewarasan akan menghalang usaha memupuk perpaduan dan integrasi nasional melalui wadah pendidikan.

"Jadi, iGuru menggesa KPM tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu atas nama kepentingan politik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, langkah kementerian memperkenalkan kaligrafi khat sebagai usaha meningkatkan pengetahuan mengenai seni keindahan menulis.

Katanya, langkah itu bersesuaian dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan usaha memartabatkan serta memperkukuhkan Bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Dasar Bahasa Kebangsaan.

Semalam, Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah keputusan untuk melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah.

Dong Zong dan Jiao Zong menegaskan seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu takut dengan tulisan jawi